Zaman sekarang, kesibukan kerja dan tekanan hidup harian kadangkala membuatkan ramai antara kita terlupa untuk ‘berhenti seketika’.

Memahami fasa burnout yang sering melanda masyarakat hari ini, gergasi media bersepadu terbesar negara, Media Prima Berhad, secara rasmi melancarkan satu inisiatif sosial gempak yang dikenali sebagai Ruang Rehat.

Kempen merentas pelbagai platform ini direka khas sebagai sebuah ‘pause button’ nasional untuk membantu rakyat Malaysia menguruskan tekanan emosi, di samping menyuntik kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan mental dalam rutin seharian.

Slogan Ringkas Yang Cukup Mendalam

Bakal menggegarkan landskap media bermula Jun hingga Oktober 2026, kempen yang digerakkan di bawah komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Media Prima ini tampil dengan slogan yang sangat menyentuh hati: “Jaga Minda, Jaga Hati, Sayangi Diri”.

Menariknya, kempen berskala besar ini akan memanfaatkan sepenuhnya ekosistem gergasi milik Media Prima—merangkumi rangkaian Televisyen, Radio, Digital, Percetakan, sehinggalah ke skrin gergasi Pengiklanan Luaran (OOH) di tepi-tepi jalan raya—bagi mengajak anda semua meluangkan masa seminit dua untuk bernafas.

'Berehat Bukan Tanda Lemah' – Media Prima Lancar 'Ruang Rehat' Untuk Bantu Anda 'Healing' Dan Hilangkan 'Burnout'

Ada Apa Di Hab Digital ruangrehat.my?

Sebagai paksi utama kempen, orang ramai dijemput untuk melayari portal ruangrehat.my.

Di hab digital ini, anda tidak akan menjumpai berita-berita berat atau kontroversi yang meminggukan kepala, sebaliknya ia dipenuhi dengan:

Artikel Kesejahteraan Diri: Tip santai menguruskan emosi dan produktiviti.

Senarai Main Audio (Playlists): Pilihan muzik dan bunyi-bunyian tenang untuk merehatkan gelombang otak.

Zon Terapi Visual: Kandungan video estetik yang sangat menenangkan mata memandang.

Bukan itu sahaja, selepas fasa pelancaran digital ini, team Media Prima bakal membawa pengalaman relax ini ke dunia nyata menerusi siri aktiviti fizikal dan ruang pengalaman interaktif.

“Berehat Bukan Tanda Lemah, Tapi Strategi Untuk Bangkit”

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali, menegaskan bahawa matlamat utama inisiatif ini adalah untuk membuang stigma lapuk masyarakat yang menganggap perbuatan mengambil masa untuk berehat sebagai satu kelemahan atau tanda malas.

“Kami mahu membantu mengurangkan stigma terhadap keperluan untuk berehat dan mengurus emosi, serta meningkatkan kesedaran bahawa mengambil masa untuk berhenti seketika bukanlah satu kelemahan, sebaliknya satu langkah penting untuk mengekalkan produktiviti, kesejahteraan diri dan kesihatan jangka panjang.

Dengan memanfaatkan jangkauan luas platform Media Prima, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengutamakan kesejahteraan mental melalui amalan rehat yang berkualiti, refleksi diri dan keseimbangan hidup,” ulas beliau.

Jadi, jika anda sedang membaca artikel ini dalam keadaan dahi berkerut dan otak yang sarat dengan bebanan kerja, apa kata ambil masa seminit untuk tekan tombol ‘pause’ dan layari ruangrehat.my atau scan kod QR di bawah.