Di sebalik imej bandar bersejarah dan kawasan pinggir kota yang padat dengan kehidupan harian rakyat, Melaka dan Cheras kini mencatatkan nama dalam senarai lokasi tertinggi penggunaan ganja di Malaysia, lapor data rasmi dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), lapor Malay Mail.

Menurut Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, Melaka mencatatkan jumlah pengguna ganja tertinggi di Malaysia dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, dengan 897 kes direkodkan, mengatasi negeri-negeri lain termasuk Selangor (551 kes) dan Johor (481 kes).

ganja

Secara lebih spesifik, Melaka Tengah sahaja menyumbang 523 kes, menjadikan daerah itu sebagai kawasan paling terkesan, diikuti Alor Gajah (251) dan Cheras (169).

“Melaka terletak dalam laluan strategik yang menghubungkan Johor dan Lembah Klang. Ini menjadikan ia transit utama bagi aktiviti penyeludupan,” jelas Ruslin.

Tambah beliau, Cheras pula merupakan kawasan bandar padat yang mempunyai capaian terus ke rangkaian pengedaran dadah, menjadikannya mudah terdedah.

ganja

Apa yang Dorong Kenaikan Penggunaan Ganja Ini?

Menurut AADK, faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan ganja bukan semata-mata kerana lokasi yang strategik atau akses yang mudah.

Ruslin menjelaskan bahawa masalah keluarga seperti ibu bapa yang tidak hadir, pengabaian dan konflik domestik sering menjadi pencetus awal kepada ketagihan.

ganja

Bagi remaja, pengaruh rakan sebaya di kawasan flat kos rendah atau setinggan menambah lagi risiko.

Kedua-dua Melaka Tengah dan Cheras, menurut Ruslin, mempunyai campuran komuniti pelbagai pendapatan – dan jurang ini sering mencipta tekanan sosial yang mendalam.