Kerajaan negeri Melaka akan membentangkan kajian pembinaan jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dalam masa terdekat.

Jambatan tersebut membolehkan pengguna sampai ke negara jiran dalam masa perjalanan 40 minit, petik Harian Metro.

Baca Juga:

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kajian yang dijadual bermula Januari depan itu membabitkan cadangan pembinaan jambatan dari Pengkalan Balak, Masjid Tanah ke Indonesia dengan jarak 47.7 kilometer.

Kajian projek berskala besar itu akan diperhalusi, kemudian dibawa ke MPFN untuk penelitian dan penilaian lanjut.

“Selepas itu, kita akan membawa cadangan ini kepada pihak Indonesia bagi membincangkan pelaksanaan projek secara bersama.

“Kami yakin, jika direalisasikan, jambatan ini akan memberi impak ekonomi besar kepada Melaka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kilang Kedua EP Manufacturing Berhad (EPMB) dan Pengeluaran Pemasangan Pertama GWM MPV WEY G9 di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, baru-baru ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri melaburkan kira-kira RM500,000 bagi perkhidmatan syarikat perunding untuk menilai aspek teknikal, ekonomi dan logistik projek berkenaan.

Dalam masa sama, kerajaan negeri bercadang mengambil alih 5,000 hektar tanah di Masjid Tanah. Ia akan dijadikan kawasan perindustrian baharu yang akan menyokong pembangunan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) serta aktiviti ekonomi biru di Melaka.

“Jambatan ini akan menjadi the world gateway terakhir yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia, serta membuka peluang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara,” katanya.

Sumber