Penggunaan ganja di kalangan remaja bukanlah isu yang baharu, namun ia sudah berlegar sejak dahulu lagi. Dalam 10 kawan yang kita ada, mesti salah seorang pernah mengambil ganja. Bermula dengan tujuan untuk mencuba, kemudian ia berlarutan menjadi salah satu ‘pegangan’ yang wajib ada.
Kumpulan ini kalau lihat dari pandangan mata kasar, selalu dianggap seperti orang yang tidak berguna. Tetapi kalau minta mereka ulas teori Syed Hussin Al Attas, dari pagi sampai ke malam pun belum tentu habis.
Bagi mereka, daun hijau yang sudah diklasifikasikan sebagai tumbuhan ubat oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beberapa tahun lalu adalah eskapisme untuk dunia yang selalu tak berpihak kepada mereka. Perlawanan dengan realiti sebenar telah menjerat mereka ke arah satu depresi yang mematikan sehingga mereka memilih untuk berpaut pada satu dahan khayalan sambil mengimpikan dunia yang lebih indah.
Tetapi eskapisme ini juga punya dua hal, seperti hidup, ada baik dan ada buruknya, “dilihat seperti hidup, tapi otak berfikir jauh ke dasar. Kadang-kadang lemas minta ditarik naik ke atas,” kata Rahmat kepada kami.
Kalau dilihat latar belakang mereka pula, kumpulan ini bukanlah manusia yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi atau kerjaya yang sedap. Mereka ini datang dari pegawai bank, peguam, aktivis kemanusian, aktivis seni, malah orang politik yang berjuang untuk nasib bangsa.
Pandangan masyarakat yang negatif memang tidak dapat lari buat kumpulan ini. Dilihat selekeh, mata merah dan serabai. Bagi mereka yang tidak pernah mengambil ganja mungkin terpinga-pinga atau tertanya-tanya apa yang seronok sangat benda ini sampai buat orang jadi happy. Atau mereka mungkin penasaran untuk tahu apakah yang dibayangkan oleh mereka yang pernah mengambil ganja.
“Puji kepada Tuhan kerana…”
Ini kisah Rahmat, bukan nama sebenar, pegawai bank dan juga seorang pekerja freelance dalam bidang seni. Dia mula menghisap ganja sewaktu belajar di Kota Bharu, Kelantan. Katanya, disebabkan stress yang melampau dan Kelantan waktu itu masih tidak maju seperti Kuala Lumpur, dia mula memilih untuk mencuba sesuatu.
“Baru tiga bulan di Kota Bharu, aku rasa bosan dan datang macam-macam idea untuk berkhayal. Antaranya hisap gam, batu, kuda, dan ganja. Lepas aku dengan kawan sebilik buat sedikit kajian. Kami pilih untuk ambil ganja.”
Ganja pertama yang dia beli adalah pada harga RM5 ringgit, siap dibalut dan sudah dicampur dengan tembakau. Dia beli dari seorang kawan yang dikenali olehnya dari laman sesawang MySpace, “Masa ini circa 2010, itulah ganja pertama yang aku hisap semasa waktu aku di Kelantan.”
Ketika menjawab soalan kami, apakah yang dirasai oleh beliau ketika pertama kali mengambil ganja. Dia menjawab, “First balut yang aku hisap, kepala aku jadi pening kemudian aku paranoid. Lepas tiga pam macam itu, kepala aku pelan-pelan berpusing. Mula-mula aku sedar tapi lama kelamaan, tiba-tiba itu semua jadi imaginasi.
“Kemudian ia perlahan-lahan menjadi sesuatu yang menyenangkan. Ini yang para pelopor dan tokoh-tokoh terdahulu katakan sebagai peringkat tertinggi menghisap ganja, iaitu stoned. State of mind yang bagi aku bebas tanpa batas. Puji kepada tuhan kerana menganugerahkan kita dengan tumbuhan yang satu ini,” katanya.
Selama Rahmat mengambil ganja, dia selalu rasa bahawa ganja mempunyai rasa yang berbeza bagi setiap orang. Ganja ini kalau kena pada balutan dan elok campurannya – ganja dan tembakau – dia boleh bawa seseorang itu terbang ke bulan tanpa bantuan NASA, katanya dalam nada celoteh.
Pengaruh rakan sebaya
Manakala bagi Jeb, bukan nama sebenar, seorang lelaki berusia 34 tahun yang tinggal dan menetap di Kuala Lumpur. Baginya, ganja ini tidak seperti alkohol atau dadah yang buat sepasang kawan bergaduh atau seorang anak derhaka kepada ibu bapanya. Ganja ini katanya mampu untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara dua kawan, tidak akan ada pergaduhan, “sebab yang ada hanya gelak ketawa.”
Dia mula mengambil barang terlarang ini apabila mula mengenalinya sejak berumur 15 tahun lagi. Semua ini bermula dari pengaruh rakan sebaya. Namun Jeb sempat berhenti, dia pilih untuk berpuasa lama dari ganja. Dari 2017 sehinggalah dari 2019 dia pilih untuk ketepikan sebentar rasa khayal yang datang dari ganja ini. Tapi, selepas itu, dia dihulur ganja jenis baharu katanya, yang dibuat menjadi sepotong brownies.
“Itu kali pertama aku rasa benda yang dipanggil sebagai Space Brownies, rasa dia sama macam brownies biasa, tetapi dia punya rasa lebih berlemak dan sedap. Dia punya sedap sampai aku teruja, sampai aku ambil nombor orang yang hulur dekat aku Space Brownies tu.”
Bagaimanapun, walaupun orang kata ganja ini mampu buat kita tenang, bagi Jeb dia merasakan bahawa tumbuhan hijau ini beri dia dengan bermacam-macam rasa, “aku tak sure orang lain. Tapi selalu kita dengar orang kata ganja ini buat kita rasa tenang. Kalau aku, kekadang dia ada banyak rasa. Tetapi bergantung kepada keadaan atau situasi.
“Ganja itu betul buat kita rasa release. Tetapi kadang-kadang ada rasa lain yang buat aku kadang-kadang paranoid. Contohnya aku jadi cepat berdebar, ada satu masa, aku rasa dia punya berdebar sampai tahap gemuruh dan dia buat aku tertanya-tanya, di mana tenangnya? Sebab yang aku rasa tadi tu gemuruh dan takut,” katanya.
Seperti apa yang dikatakan Rahmat tadi, Jeb juga bersetuju bahawa mungkin setiap orang ada rasa yang berbeza. Ada orang bila ambil, dia rasa semua masalah yang terbeban di bahu dia selama ini rasa ringan dan manakala sesetengah yang lain pula, seperti Jeb, gemuruh lebih menguasai dari senang dan tenang.
Ada terfikir mahu berhenti?
Rahmat tidak pernah terlintas untuk berhenti. Katanya, ini adalah barang yang dia pilih untuk rasa dekat dengan hidup atau kadang-kadang boleh buat dia rasa untuk hidup. Walaupun menghadapi banyak pengalaman ngeri apabila pernah ditahan oleh polis, itu belum cukup kuat untuk buat dia berhenti.
“Setakat ini, aku tak terfikir lagi mahu berhenti. Kalau perlu berhenti pun, bila bekalan aku putus. Itu sahaja rancangan yang aku ada. Dulu aku kerap juga hisap tapi sekarang bekalan susah nak dapat. Jadi aku lebih memilih untuk berjimat. Sekarang pun aku hanya hisap sebelum tidur,” katanya.
Bagi Jeb pula, dipaksa kuarantin selama 14 hari bagi mencegah wabak COVID-19 baru-baru ini benar-benar mengajarnya. Apa yang dia fikirkan selama ini dia tidak boleh buat, akhirnya dia berjaya juga buat. Dia berjaya untuk berhenti dari ganja, dia langsung tiada rasa gian atau mencari-cari.
“Pengalaman 14 hari di pusat kuarantin betul-betul mengajar aku. Selepas aku keluar, ada juga yang cuba hulur sebatang. Tapi entahlah, badan aku secara automatik menolak. Ada rasa tenang dihujung diri, rasa tenang yang bukan daripada bahan terlarang tetapi yang semulajadi tumbuh dalam diri aku.”
Walaupun kedua-dua anak muda ini dilihat seperti enjoy dengan pengalaman dan rasa menghisap ganja. Rahmat dan Jeb tetap bersetuju bahawa ini adalah sesuatu yang tidak patut dicuba, “baik untuk orang muda atau orang tua, janganlah kalau boleh. Benda ini mungkin ada baiknya dari segi perubatan, tetapi untuk dilayan suka-suka, janganlah,” kata Jeb.
Manakala Rahmat pula, “kalau nak cuba juga, pastikan bersedia dengan segala benda. Jati diri kena kuat, kena tahu apa yang kau nak ambik. Bukan sebab pengaruh rakan atau sebab kau rasa cool bila orang tahu kau ambil ganja. Kalau sebab itu, kau buang masa.”
Apa yang Rahmat dan Jeb cerita ini adalah pengalaman untuk mereka kongsi dengan masyarakat umum. Ini adalah eskapisme yang mereka pilih untuk lari dari dunia yang penuh desakan dan tuntutan. Tiada langsung galakkan daripada mereka untuk pembaca, anak muda atau sesiapa sahaja untuk mencuba perkara ini.
Kini perbincangan untuk menghalalkan ganja dari segi undang-undang sedang giat dijalankan. Orang ramai bukan minta halalkan ganja untuk tujuan seronok-seronok, tetapi untuk mereka yang ada masalah kesihatan. Usaha ke arah itu pun berjalan selepas kes selebriti, Yassin yang ditahan selepas polis jumpa pokok ganja dalam rumah dia. Kalau orang biasa yang ditahan, mungkin tiada langsung perbincangan ini. Tetapi lebih baik ada daripada tiada.