Dalam dunia serumpun, kisah kejayaan masyarakat Melayu Singapura dan Malaysia semakin mencuri perhatian.
Di negara jiran, tiada istilah hak istimewa, tiada kuota khas untuk Bumiputera, dan tiada kelebihan berdasarkan bangsa.
Tiada ‘Tongkat’, Tapi Mampu Berdiri
Melalui perkongsian sebuah video di media sosial Threads, seorang lelaki berkongsi sebab mengapa dia merasakan Melayu Singapura lebih berjaya berbanding Melayu di Malaysia.
Antara komennya adalah Melayu di sana tidak diberikan hak istimewa seperti di Malaysia.
Tiada kuota universiti, tiada keutamaan dalam pembelian rumah, dan tiada kelebihan dalam perkhidmatan awam semata-mata kerana status etnik.
Namun, mereka menunjukkan bahawa usaha gigih, disiplin, dan meritokrasi adalah kunci sebenar kejayaan.
Daripada doktor, peguam, jurutera, hingga ke pentas seni dan sukan – ramai Melayu Singapura telah membuktikan keupayaan mereka secara adil, tanpa perlu dilindungi oleh polisi berasaskan kaum.
Kerajaan Adil, Rakyat Berjaya
Tambah beliau lagi, walaupun dikuasai oleh majoriti Cina, kerajaan Singapura tidak meminggirkan Melayu.
Malah, masyarakat Melayu Singapura bebas mengamalkan ajaran agama, boleh melaungkan azan, membina masjid, menyambut Hari Raya secara terbuka, dan masih mempunyai bahasa ibunda mereka diajar di sekolah.
Apa yang lebih penting, bantuan kerajaan seperti baucar CDC, bantuan COVID-19, dan skim sokongan lain diberikan kepada semua rakyat – tanpa mengira bangsa.
Melayu mendapat sama seperti Cina dan India – kerana prinsipnya mudah: ikut undang-undang, kerja rajin, kau akan berjaya.
Kejayaan Melayu di Singapura juga disokong oleh sistem yang cekap.
Tiada politik perkauman. Tiada retorik kaum. Tiada pertelingkahan mengenai “siapa lebih layak.”
Apa yang ada adalah undang-undang yang jelas, masyarakat yang saling hormat, dan sistem sosial yang meletakkan integriti dan kerja keras di tempat pertama.
Beliau juga turut menyindir bekas pemimpin Malaysia yang berkuasa selama 22 tahun.
Katanya, “22 tahun kau jaga negara, tapi tetap juga sama. Apa hasilnya? Jual tanah, gaduh bangsa, penjarakan orang sesuka hati. Tapi Singapura, dalam masa sama, kami bina negara – walaupun Cina majoriti, Melayu tetap dapat hak yang sama.”