Jude Bellingham mengakui bahawa beliau benar-benar keletihan semasa perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Slovenia sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa bintang England itu mengalami sindrom ‘burnout’ di Euro 2024.

Harapan tinggi diletakkan di bahu Bellingham selepas musim yang cemerlang bersama Real Madrid yang menjuarai kempen Laliga serta Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Beliau turut memulakan kempen Euro 2024 dengan baik selepas menghadiahkan jaringan kemenangan pada perlawanan menentang Serbia, tempoh hari.

Namun, pemain berusia 20 tahun itu mengalami kesukaran dalam perlawanan berikutnya menentang Denmark dan keadaan itu berterusan menentang Slovenia juga.

Tanpa berselindung bekas pemain Borussia Dortmund itu mengakui bahawa dirinya berada dalam kepenatan.

“Anda pasti mendapat tenaga daripada aura sorakan penyokong-penyokong England itu sehingga detik akhir permainan. Saya rasa seperti dalam perlawanan terakhir [melawan Slovenia], saya benar-benar letih,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.

“Tetapi saya mendengar mereka menyanyi, mendengar mereka bersorak dan boleh bermain walaupun pada tahap yang bukan yang terbaik, itu normal, ia boleh berlaku.”

“Tetapi saya fikir perkara yang penting apabila anda memakai lencana ini (merujuk kepada jersi England) dan mewakili penyokong-penyokong itu, ialah bahawa anda tidak boleh menyerah dan saya rasa mereka adalah penguat semangat yang berterusan buat anda.

Bellingham membuktikan dirinya sebagai antara pemain terbaik dunia pada musim 2023/24 apabila beliau menjaringkan 23 gol dan mencipta 13 bantuan.

 

 

Sumber