Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, inilah perumpaan yang sesuai dalam menerangkan situasi seorang nasib pengait buah kelapa sawit yang bertuah selepas memenangi RM1 juta kerana menabung dalam BSN SSP.
Dalam sekelip mata, seorang pengait buah kelapa sawit di Dengkil, Selangor menjadi jutawan apabila dipilih sebagai pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP Bulan Oktober 2023.
Baca Juga:
- Pensyarah Muda Jadi Jutawan Pada Usia 29 Tahun Dengan Hanya Jual Daun Kering
- Lelaki Johor Jadi Jutawan Segera, Menang ‘Cabutan Bertuah’ Sebanyak RM32 Juta
- Baru Sahaja Berusia 17 Tahun, Lelaki Ini Muncul ‘Jutawan Segera’ Selepas Menangi Cabutan BSN SSP
Johan A/L Mat, 66, mula menabung dalam BSN SSP sejak 2013, selepas merasa tercabar melihat ramai yang sepertinya memenangi cabutan yang dianjurkan BSN.
“Saya tengok hadiah RM1 juta, lagi pun rasa tercabar juga apabila melihat (pemenang lalu) wanita penoreh getah dari Negeri Sembilan memenangi kereta Mercedes.
“Dalam hati berkata ‘kalau dia boleh menang, takkan aku tak boleh?’, sebab itulah saya menabung dalam BSN SSP,” cerita Johan.
Isterinya pula mula menabung lebih awal dalam BSN SSP sejak 1995, acap kali juga Johan menyemak senarai pemenang yang diumum, namun tak pernah sekali pun nama isterinya naik.
Tapi benarlah apa dikatakan rezeki tak salah alamat, akhirnya kali ini tuah menjadi milik mereka apabila Johan terpilih untuk memenangi RM1 juta selepas 10 tahun menabung.
“Saya macam tak percaya menang RM1 juta, bila anak dan menantu telefon dan datang bertanya sama ada saya ada menabung dengan BSN SSP.
“Saya kata ada, kemudian mereka kata pihak bank memaklumkan bahawa nama saya dipilih untuk dapat RM1 juta, saya macam ‘betul ke ni?,” katanya lagi.
Seperti biasa, pada awalnya disangkakan ‘scammer’ tetapi setelah dihubungi oleh pihak BSN sendiri, barulah Johan percaya dan ibarat tak jejak ke bumi kakinya.
Macam-macam dibayangkan dengan wang kemenangan yang begitu banyak itu, namun buat masa ini Johan hanya mahu statusnya sebagai jutawan berpanjangan.
“RM1 juta ini kalau boleh saya nak buat simpanan kekal dan daripada dividennya itu yang dibelanjakan, mungkin untuk beli kereta baharu atau tambah baik rumah.
“Kalau boleh, saya nak kekalkan status sebagai jutawan!” kata Johan.
Johan merupakan jutawan BSN SSP ke-93 dan dua orang lagi akan dinobatkan sebagai pemenang bulan November dan Disember, sekali gus melengkapkan pencarian jutawan BSN SSP seramai 95 orang tahun ini.