Pengurus Liverpool, Arne Slot mendedahkan kelemahan taktik pengurus Manchester United, Erik ten Hag selepas pasukannya mencatat kemenangan 3-0 di Old Trafford baru-baru ini.
Luiz Diaz menjaringkan dua gol manakala Mohamed Salah menyumbang satu gol untuk memastikan Liverpool mengekalkan rentak kemenangan dan memastikan United terus menderita.
Ketika ditemu bual selepas perlawanan, Slot mendedahkan terdapat tiga kelemahan yang ditunjukkan oleh United yang dimanfaatkan oleh pasukannya.
Arne Slot menyatakan bahawa struktur pressing United telah berubah dalam empat perlawanan pembukaan mereka musim ini, tiga daripadanya telah berakhir dengan kekalahan.
Kelemahan kedua menunjukkan bagaimana bek sayap United sentiasa berada di kedudukan yang sedikit tinggi sekaligus membenarkan pemain sayap lawan mengeksploitasi situasi itu.
Ketiga, pengurus dari Belanda itu menjelaskan betapa pentingnya mempunyai pemain tengah yang agresif yang boleh memenangi pertarungan.
Dalam perlawanan di laman sendiri, segalanya bagai tidak menjadi bagi United dimana kesilapan individu dan kelemahan taktik menyebabkan mereka tewas buat kali kedua dalam tiga perlawanan liga yang dihadapi.
Selain menyalahkan ten Hag, peminat turut mengkritik persembahan yang ditampilkan oleh salah seorang pemain tengah iaitu Casemiro yang menjadi punca terhadap dua gol Liverpool yang dijaringkan oleh Diaz.
Rata-rata peminat tidak mahu ten Hag menurunkan Casemiro dalam perlawanan selepas ini bahkan ada yang mendesak agar pemain kelahiran Brazil itu dijual ke kelab Arab Saudi.