Pihak Pengurusan Menara Kuantan 188 hari ini tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung isu penularan dakwaan di media sosial mengenai kelewatan atau kegagalan pembayaran kepada rakan kerjasama mereka, Cafe Coach Empire.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pihak pengurusan menegaskan bahawa sepanjang tempoh kerjasama yang bermula sejak Mei 2024 sehingga kini, Menara Kuantan 188 telah pun menjelaskan bayaran berjumlah RM208,623.80 kepada Cafe Coach Empire.
Jumlah tersebut adalah selaras dengan terma urusan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Hanya Satu Invois Masih Dalam Proses Perbincangan
Pihak pengurusan turut memperincikan bahawa sehingga saat ini, hanya terdapat satu invois sahaja yang belum dilunaskan.
Kelewatan tersebut difahamkan berpunca daripada beberapa perkara teknikal yang masih dalam proses perbincangan dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.
“Adalah tidak tepat untuk menggambarkan bahawa Menara Kuantan 188 gagal atau enggan membuat pembayaran kepada Cafe Coach Empire,” jelas kenyataan itu lagi.
Usaha Selesai Secara Profesional Belum Menerima Maklum Balas
Dalam pada itu, pihak Menara Kuantan 188 menyatakan komitmen mereka untuk menyelesaikan perkara tertangguh ini secara profesional dan baik.
Pihak pengurusan mendakwa telah beberapa kali menghubungi Cafe Coach Empire bagi mengadakan sesi perbincangan, namun sehingga kini, usaha tersebut masih belum menerima maklum balas yang sewajarnya daripada pihak berkenaan.
Komitmen Penyelesaian Berhemah
Menara Kuantan 188 menegaskan bahawa mereka sentiasa terbuka dan komited untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara berhemah melalui saluran yang betul.
Pihak pengurusan turut menyeru orang ramai dan pihak media agar menghentikan penyebaran kenyataan yang boleh mengelirukan atau menjejaskan reputasi mana-mana pihak sebelum isu ini berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh kedua-dua organisasi.