Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan, serta denda RM6,000 seorang selepas tiga tertuduh mengaku mencuri tabung masjid sebuah masjid di Seksyen 7, pada 22 Februari lalu.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memerintahkan tertuduh K Tineshuaran, 26; R Nishanraj, 22 dan SR Danesh, 27 menjalani hukuman berkenaan bermula tarikh sabitan hari ini, lapor Harian Metro.
Ketiga-tiga tertuduh juga diperintah untuk menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didapati mencuri tabung besi kepunyaan Masjid Seksyen 7 bernilai RM2,000 pada 22 Februari, kira-kira jam 4 pagi.
mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan penjara dengan denda atau sebat.
Memetik laporan itu lagi, seorang lagi tertuduh iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan sama yang dibacakan terhadapnya secara tertutup.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk serahan laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Swinder Singh dan Ashrul Haikal.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon penangguhan hukuman dengan alasan ketiga-tiga tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dan pertuduhan itu adalah kesalahan pertama mereka.
Bagaimanapun, Muhammad Syafiq menolak permohonan pihak pembelaan berikutan tiada keperluan khas.