Berhubung kontroversi yang melibatkan tiga penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin Amir Effendy, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa tiada tindakan selanjutnya akan dikenakan ke atas mereka.
Fahmi berkata, ketiga-tiga penyampai radio yang terbabit dalam kes menghina penganut agama Hindu itu sudah pun memohon maaf dan digantung tugas oleh radio terbabit.

Bahkan, mereka juga sudah pun melalui pelbagai perkara seperti siasatan dan juga tekanan yang besar sepanjang isu ini berlaku sejak beberapa hari lalu ujar Fahmi lagi.
Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa kompaun RM250,000 dikenakan kepada MBNS, anak syarikat Astro yang mempunyai keuntungan besar, bukan kepada Era FM.
“Kompaun RM250,000 terhadap MBNS diberi izin oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berpandukan kepada beberapa faktor, termasuk pindaan Akta 588 yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu,” kongsinya.
Sekali lagi beliau menekankan pindaan ini sekaligus menjadi penyebab denda maksimum mahkamah meningkat kepada RM500,000.
Bagaimanapun, timbul pula perbandingan dalam kalangan sesetengah pihak yang melihat kompaun RM250,000 terhadap MBNS sebagai terlalu tinggi apabila dibandingkan dengan kompaun yang dikenakan kepada pihak lain yang juga didapati bersalah memuat naik kandungan sensitif yang boleh menjejaskan kesucian agama Islam.
“Itu adalah di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang yang berbeza dan dia tidak melibatkan kandungan dalam talian atau pun pemegang lesen MCMC,” komennya lagi.
Hal ini kerana ada yang merasakan kes Harith Iskander dan Cecilia Yap yang menghina agama Islam hanya didenda RM10,000 sahaja sekaligus timbul pelbagai spekulasi di dalam dunia maya.
Ini sebabnya
Pada dasarnya, Harith Iskander dan Cecilia Yap dikenakan dengan angka sebegitu kerana mereka adalah individu dan bukan sebuah syarikat yang meraih keuntungan yang lebih besar.
Malah, jumlah yang dikatakan rendah itu sebenarnya adalah kerana mereka telah melakukan kesalahan sebelum 11 Februari, iaitu sebelum pindaan seksyen 233 yang mana hukuman maksimum sehingga RM50,000 sahaja.