Ekonomi Malaysia berisiko mengalami kerugian sebanyak RM11.6 bilion jika tindakan perdagangan yang pantas tidak diambil, demikian amaran daripada ahli ekonomi.

Memetik The Star, seorang ekonomi, Dr Geoffrey Williams memberi amaran bahawa tanpa tindak balas dasar yang tepat pada masanya dan berkesan, negara berisiko kehilangan sebanyak RM11.6 bilion dalam nilai ekonomi.

Ekonomi
Sumber Gambar: Rnggtplus

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia, menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar untuk 2025 kepada 4.1 peratus daripada anggaran sebelumnya sebanyak 4.7 peratus.

Untuk mengurangkan kerugian ini, Malaysia mesti fokus untuk mendapatkan perjanjian bagi mengurangkan atau menghapuskan tarif timbal balik 24 peratus dan diharapkan dapat mengurangkan tarif asas 10 peratus di peringkat global bersama negara-negara lain.

Williams berkata, walaupun keputusan untuk menolak tarif pembalasan adalah langkah positif, mengambil pendirian yang menafikan kewujudan halangan perdagangan, melambatkan usaha untuk menangani kebimbangan AS, atau mempertahankan industri domestik dengan mengekalkan halangan tersebut boleh menjadi mahal, yang berpotensi mengakibatkan kerugian ekonomi berbilion ringgit.

Beliau menambah, mempelbagaikan pasaran dan meneroka produk eksport baharu adalah strategi jangka panjang yang kukuh tetapi akan mengambil masa terlalu lama untuk mengurangkan kos ekonomi tahun ini dan tahun depan.

Oleh itu, strategi yang perlu diambil ialah berunding secara positif dalam baki tempoh penangguhan 90 hari. Ini bermakna mengurangkan halangan perdagangan ke dalam pasaran Malaysia.

Kemungkinan besar negara lain akan mengurangkan halangan perdagangan dan mencapai persetujuan, jadi Malaysia mesti mengikut laluan itu. Ini akan meningkatkan perdagangan bebas global dan mungkin memberikan hasil positif untuk semua pihak.

IMF menekankan bahawa ekonomi global kekal berada pada titik penting. Walaupun tanda-tanda kestabilan muncul sepanjang 2024 berikutan tahun-tahun ketidakstabilan dan gangguan, cabaran tetap wujud.

Sejak Februari, AS telah memperkenalkan beberapa pusingan tarif yang menyasarkan rakan dagang utama, yang mendorong langkah-langkah pembalasan dalam beberapa kes.

Pasaran pada mulanya bertindak balas dengan tenang, tetapi pengenaan tarif menyeluruh pada 2 April menyebabkan penurunan mendadak dalam indeks saham utama dan lonjakan dalam hasil bon. Pemulihan pasaran separa berlaku selepas penangguhan dan pengecualian dasar diperkenalkan mulai 9 April.

Negara ini juga harus memperkukuh hubungan diplomatik dalam Asean dan dengan rakan-rakan di Timur Tengah kerana perdagangan global semakin beralih ke arah “friendshoring“, yang mengutamakan perdagangan dengan negara-negara sekutu. Pertumbuhan Asean diunjurkan pada 4.6 peratus pada 2024 dan 4.4 peratus pada 2025, menyumbang dengan signifikan kepada pertumbuhan global.

Dengan memperdalami integrasi Asean dan menjalin perjanjian perdagangan dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia dapat menjamin pasaran yang stabil, mengurangkan risiko daripada pepecahan geoekonomi.

Selain itu seorang lagi pakar ekonomi, Mohd Sedek Jantan pula berkata, Malaysia harus mengurangkan pergantungan kepada AS dan China dengan memperluas perdagangan dengan pasaran-pasaran baru muncul dan fokus pada eksport bernilai tinggi.

Beliau berkata Malaysia harus beralih ke arah eksport bernilai tinggi dan memperdalam hubungan serantau, terutama di Asean dan Timur Tengah.

Sedek juga menyarankan agar negara fokus pada peningkatan permintaan domestik dan mengurangi ketergantungan pada pelaburan dan perdagangan asing untuk lebih melindungi diri dari kejutan eksternal.

Beliau menyatakan bahawa rangka kerja Ekonomi Madani dan Belanjawan 2025 memberikan keutamaan kepada pengukuhan fiskal, dengan pengurangan defisit fiskal kepada 4.3 peratus daripada KDNK pada tahun 2024, yang seterusnya membolehkan sumber daya disalurkan untuk perbelanjaan sosial dan pembangunan infrastruktur.

Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ekonomi Keynesian, Malaysia disarankan untuk meneruskan langkah-langkah rangsangan fiskal yang disasarkan, contohnya pemberian subsidi kepada golongan yang mudah terjejas dan pelaburan dalam infrastruktur digital, dengan tujuan untuk meningkatkan perbelanjaan dalam negeri.