Pemilihan bengkel kereta yang jujur sememangnya penting kerana takut ‘disembelih’ untuk perkara yang tidak berkaitan sewaktu pembaikian.

Seperti yang berlaku pada seorang wanita di platform X yang berkongsi dia merasa terkejut apabila perlu membayar lebih RM4,000 untuk pembaikian kereta Viva miliknya tanpa mengetahui komponen yang patut ditukar.

“Aku swipe card bayar kos repair kat bengkel tadi RM4,777, menggigil mat,” keluhnya.

Di dalam ciapan yang sama, dia berkongsi satu gambar resit bertulis yang memperlihatkan senarai komponen-komponen yang dipercayai telah diganti beserta kos bagi setiap satu yang menunjukkan jumlah keseluruhan mencecah RM6,277.

Difahamkan dia hanya menghadapi masalah stereng yang bergegar sewaktu penggendalian seharian. Namun alangkah terkejut buat dirinya apabila dicaj sebegitu mahal dan timbul persoalan sejauh mana rasional harga yang dikenakan oleh pihak bengkel itu.

Menjengah ke ruangan ciapan, rata-ratanya pengguna X berpendapat wanita berkenaan telah ditipu oleh pihak bengkel tersebut yang mana mengenakan harga yang mahal untuk sebahagaian komponen tanpa sebarang sebab.

Sebagai contoh, komponen steering rack yang dilihat harganya sangat ketara mahal apabila mencecah RM3,200 untuknya.

Sumber Gambar: X
Sumber Gambar: X

Dalam pada itu, ramai menasihati para wanita perlu datang ke bengkel bersama individu yang mahir perihal kereta agar tidak ‘disembelih’ dengan bengkel yang tidak jujur.

Agak mengejutkan lagi, ada netizen yang mendedahkan kos keseluruhan pembaikian yang dibayar sudah menyamai harga sebuah kereta Viva terpakai atau membuat restoration menerusinya.