Baharu sahaja menamatkan tugasan penting sebagai Pengarah Kejohanan Euro 2024, Philipp Lahm kini mengalih tumpuannya untuk perkara yang cukup berbeza.

Hal ini kerana beliau telah menawarkan pakej terbaik kepada peminat bola sepak dimana mereka berpeluang untuk menginap di rumah mewah bekas pemain skuad kebangsaan Jerman itu melalui tempahan di laman Airbnb.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Sport Bible, dua tetamu bakal menikmati pengalaman unik untuk bermalam di rumah pemenang Piala Dunia 2014 itu pada 18 hingga 19 Oktober nanti.

Menginap Di Vila Mewah Juara Dunia: Tawaran Istimewa Philipp Lahm Buat Peminat
Kredit Foto: Airbnd

Vila tepi tasik yang terletak di bandar peranginan iaitu Tegernsee itu boleh ditempah dengan harga €21 (kira-kira RM106.30).

Angka yang mengingatkan kita kepada nombor jersi Lahm yang beraksi dengan penuh jiwa ketika menyarung jersi jelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Bukan sahaja tetamu bertuah itu akan bermalam di vila indah Lahm di Tasik Tegernsee, tetapi mereka juga akan menikmati makan malam gaya Bavaria yang dimasak untuk mereka oleh chef profesional.

Menginap Di Vila Mewah Juara Dunia: Tawaran Istimewa Philipp Lahm Buat Peminat
Kredit Foto: Airbnd

Jika itu tidak mencukupi, tetamu akan menerima dua jersi yang ditandatangani daripada Lahm serta dua tiket untuk perlawanan Bundesliga 2024/25 Bayern Munich menentang Stuttgart di Allianz Arena pada hujung minggu itu.

Difahamkan, Philipp Lahm juga akan mengadakan sesi lawatan bagi melawat kawasan sekitar beliau dan koleksi memorabilia peribadinya dari kerjaya profesionalnya selama 16 tahun.

Vila ini mempunyai pemandangan tasik dan pergunungan yang menakjubkan dan juga mempunyai kolam renang dalaman untuk dinikmati oleh tetamu.

Peminat boleh mula menempah vila tersebut dari 7 Ogos pada jam 5 petang waktu tempatan. Para tetamu perlu mengatur perjalanan mereka sendiri untuk ke Tasik Tegernsee serta ke Arena Allianz.