Menteri Kewangan Indonesia membangkitkan cadangan untuk mengenakan cukai laluan terhadap kapal-kapal yang melalui Selat Melaka dan Selat Singapura, namun pantas meredakan isu tersebut.
Beliau menegaskan bahawa Jakarta sama sekali tidak berniat untuk mengeksploitasi laluan perairan strategik berkenaan semata-mata demi meraih hasil kewangan.

Ketika berucap dalam sebuah simposium kewangan di Jakarta pada Rabu (22 April), Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, secara jujur mengakui kedudukan strategik Indonesia di selat tersebut yang menjadi nadi utama perdagangan dan tenaga global.
Walaubagaimanapun, beliau sedar bahawa langkah untuk menukar kelebihan itu menjadi sumber pendapatan bukanlah sesuatu yang mudah, dan mungkin juga tidak wajar untuk dilaksanakan.
“Kalaulah ia semudah itu, tapi hakikatnya tidak,” ujar beliau dalam ucapannya sambil menarik perhatian kepada pelbagai kekangan dari sudut undang-undang, geopolitik, dan aspek praktikal yang perlu dihadapi.

Kenyataan ini menyusul selepas beliau menyentuh serba sedikit tentang idea sekiranya Indonesia boleh mencontohi langkah Iran yang merancang untuk mengenakan caj bagi kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.
Inspirasi dari Selat Hormuz
Baru-baru ini, Iran memberi isyarat untuk mula mengenakan bayaran kepada kapal yang transit di Selat Hormuz berikutan ketegangan yang semakin memuncak dan kebimbangan keselamatan akibat konflik di Timur Tengah.
Dr. Purbaya mengulas mengenai perbezaan situasi di rantau ini:
“Kita berada di laluan perdagangan dan tenaga global yang sangat strategik, tetapi kita tidak mengenakan sebarang caj kepada kapal yang melalui Selat Melaka,” kata beliau. “Sekarang, Iran pula sedang berkira-kira untuk mengenakan caj di Selat Hormuz.”
Kerjasama Tiga Negara
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang langkah untuk melaksanakan perkara yang sama di Selat Melaka tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia wajib melibatkan Malaysia dan Singapura sebagai negara pesisir yang berkongsi laluan tersebut.
Sambil berseloroh, menteri itu menambah:
“Kalau kita bahagikan hasilnya kepada tiga antara Indonesia, Malaysia, dan Singapura hasilnya pasti lumayan, bukan?” katanya sambil ketawa.
Meskipun idea mengenai pengenaan caj di Selat Melaka sempat tercetus, Dr. Purbaya segera memperjelaskan pendirian Indonesia. Beliau menegaskan bahawa Indonesia tidak berhasrat untuk mengaut keuntungan daripada laluan perkapalan antarabangsa hanya kerana mempunyai kuasa ke atasnya.
Prinsip Kebebasan Pelayaran
Selat Melaka sepanjang 900km merupakan nadi perdagangan dunia yang menghubungkan Asia dengan Eropah. Di bawah undang-undang antarabangsa, laluan ini wajib kekal terbuka. Singapura, melalui Menteri Luar Dr. Vivian Balakrishnan, memberikan pendirian tegas mengenai hak transit ini:
“Hak transit adalah jaminan untuk semua orang. Kami tidak akan terlibat dalam sebarang cubaan untuk menutup, menyekat, atau mengenakan tol di kawasan kejiranan kami,” jelas Dr. Balakrishnan.
Beliau turut menambah dalam sesi Parlimen bahawa laluan selamat bukanlah satu ‘keistimewaan’ yang diberikan oleh negara pesisir, sebaliknya ia adalah hak mutlak setiap kapal negara asing untuk melaluinya tanpa perlu membayar lesen atau tol.
Kerjasama Tiga Serumpun
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) mengesahkan bahawa Indonesia, Malaysia, dan Singapura komited mengekalkan keselamatan selat ini.
Melalui mesyuarat Tabung Bantuan Navigasi (ANF), ketiga-tiga negara mengulangi janji untuk bekerjasama demi kelancaran trafik laut global.
Kedaulatan di Tengah Ketegangan Geopolitik
Kehadiran kapal perang asing, seperti kapal AS USS Miguel Keith baru-baru ini, dianggap sebagai prosedur rutin yang mematuhi undang-undang antarabangsa. Menteri Luar Indonesia, Sugiono, menegaskan bahawa aktiviti rondaan asing bukanlah perkara luar biasa:
“Saya fikir ini normal, mereka melakukan rondaan di rantau ini. Wujud apa yang dipanggil sebagai rondaan kebebasan pelayaran,” kata Sugiono.
Beliau juga menekankan bahawa meskipun Indonesia bekerjasama dengan pelbagai kuasa besar, kedaulatan negara tetap menjadi keutamaan.
Melalui dasar luar yang “bebas dan aktif”, Indonesia akan terus berinteraksi dengan rakan global tanpa memihak, sambil tetap waspada terhadap kesan pergolakan dunia kepada negara.