Tular klip video seorang remaja berbangsa cina ditampar oleh seorang individu gara-gara dia makan di dalam kedai serbaneka pada bulan Ramadan.

Insiden itu telah mendapat perhatian Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang.

Dalam hantaran X.com, beliau telah diberitahu bahawa mangsa telah membuat telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi.

Pihak PDRM akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Saya berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

“Insiden yang telah berlaku ini adalah satu provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara kita yang berbilang kaum.

“Tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara,” kata beliau.

Tambahnya lagi, beliau mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi, dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum.

Beliau berharap agar semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat Malaysia, yang seharusnya sentiasa saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai Faham, Hormat & Terima.

Terdahulu pengguna X.com @bingbinge656 berkongsi pengalaman ditampar oleh seorang lelaki ketika makan di dalam kedai serbaneka.

Lelaki itu bertanyakan kepadanya sama ada dia berbangsa cina, beragama Islam dan memintanya menunjukkan kad pengenalan.

Kemudian dia memarahi remaja itu kerana makan ketika bulan Ramadan, lalu menamparnya beberapa kali.

Menurut remaja itu lagi, anak lelaki tersebut menenangkan keadaan dan meminta maaf bagi pihak lelaki tersebut.

“Pak cik itu tidak menghormati saya dan tampar saya di tempat awam. Saya boleh terima permohonan maaf itu tapi saya tak boleh lepaskan benda ni.

“Semoga negara kita kekal negara yang harmoni dan kita tahu bagaimana nak hormat orang lain tak kira kaum dan agama,” kata X.com @bingbinge656.