Keharmonian antara kaum di negara ini adalah satu perkara yang perlu dipelihara dan dipertahankan.

Penulisan berita memainkan peranan penting dalam menyokong hal ini. Apatah lagi bila ia ditulis oleh organisasi seperti Bernama.

Orang ramai pula amat mudah tersentuh dengan berita berbentuk jenayah. Bila ada kes pukul di UPNM, seraya semua orang mengutuk para suspek (yang belum dibuktikan bersalah).

Bila ada kes langgar, mudah sahaja kita kata si pemandu berlumba.

Ada kes dera, pakat-pakatlah kita doakan hidup si pelaku itu merana sepanjang hayat hendaknya.

Soalan automatik

Seperti mana yang kita semua lalui hari-hari, bila datang sesuatu berita berbentuk jenayah atau kecelakaan, dalam komuniti Malaysia secara automatik orang akan tanya,

“Melayu ke?”
“Cina ke?”
“India ke?”

Jawapan yang diterima daripada soalan ni kemudiannya akan disambung dengan ayat-ayat streotaip seperti (dan tidak tertakluk hanya kepada ini),

“Buat malu Melayu je. Laju sangat nak pergi haji balik hari ke?”
“Cina tak sedar diri, balik Tongsan la…”
“Ah India, kalau tak mabuk tak sah…”

Contoh

Nah. Kita ambil satu berita yang Bernama siarkan semalam,

Polis Kenal Pasti Suspek Samun Dan Pukul Penumpang Uber

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) – Polis sedang mengenalpasti suspek-suspek yang terlibat dalam insiden dua penumpang Uber disamun dua lelaki bermotosikal selepas mereka diturunkan di satu lokasi ketika menggunakan perkhidmatan Uber awal pagi semalam.

Mangsa berumur 24 tahun bersama rakannya, juga 24, dikatakan menaiki perkhidmatan Uber di Batu 9, Cheras untuk menuju ke ibu kota namun tidak dihantar ke destinasi yang dituju tetapi diturunkan setelah setengah perjalanan oleh pemandu Uber berkenaan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 3.08 petang semalam yang dikatakan turut dipukul dengan helmet oleh kedua-dua lelaki bermotosikal itu setelah ditinggalkan pemandu Uber di lokasi berkenaan…..

(Berita penuh di laman sesawang Bernama)

Apa kita boleh belajar

3 perkara yang kau orang boleh lihat dalam potongan artikel ini adalah:

1. Tajuk menggambarkan kejadian yang berlaku secara umum.

2. Penceritaan ditulis hanyalah kejadian yang berlaku. Menjawab semua persoalan-persoalan W-H.

3. Apabila merujuk kepada mangsa dan pelaku jenayah, cukup menyatakan jantina dan umur. BANGSA dan AGAMA mangsa dan pelaku tidak ditulis.

Ya. Item nombor 3 itu memang house style Bernama. Bangsa pelaku tidak ditulis. Lagipun, tak penting pun bab bangsa tu.

Kalau dah nama kesalahan rogol, tak kiralah bangsa apa pun, agama apa pun si pelaku – kesalahannya tetap sama.

Pembunuh, kau Melayu ke, Cina ke, India ke… perbuatan kau mengambil nyawa orang itu sama saja berat kesalahannya.

Dalam penulisan berita, yang kita nak sampaikan adalah kejadian. Bukan mengapi-apikan orang atau timbulkan persepsi antara kaum.

Contoh 2

Mungkin kau tanya, macam mana dengan nama orang, ya lah kalau kes dah dibawa naik ke siasatan Polis atau naik mahkamah pastinya nama pelaku/tertuduh disiarkan, sebagai contoh,

Seorang Pelajar Disoal Siasat Di Manchester Pulang Bercuti

SEPANG, 5 Jun (Bernama) – Seorang daripada tiga pelajar Malaysia yang disoal siasat Polis Greater Manchester berkaitan insiden pengeboman di Manchester Arena pada 22 Mei lepas, pulang ke tanah air hari ini untuk bercuti.

Muhammad Helmy, 22, pelajar tahun dua bidang falsafah dan politik University of Manchester bercuti sempena cuti musim panas universitinya pada masa ini.

(Berita penuh di laman sesawang Bernama)

Daripada berita ini ditulis nama Muhammad Helmy, umur 22 tahun.

Sekarang kau bagi tahu aku, Muhammad Helmy ini bangsa apa, agama apa?

Mungkin ramai akan kata dia Melayu.

Buka fikiran luas sikit, ada tak kemungkinan dia ini orang India? Boleh jadi juga dia Cina, Iban, Melanau dan mungkin juga orang putih yang memiliki kewarganegaraan Malaysia, kan?

Situasi sama kalau nama orang itu Lee Kum Kee atau Alagappas Babas – kau mungkin akan meneka Lee sebagai Cina dan Alagappas sebagai India, tetapi faktanya belum tentu weh!

Niat penulis

Orang nak bersangka,kita tak boleh halang. Tetapi jangan pula kita mengiyakan dalam penulisan, itu akan lebih merosakkan keadaan.

Kenapa aku bebel hal ini?

Konsep sama boleh digunakan dalam penulisan.

Jujurnya bila seseorang naikkan status (biasanya menghentam orang) dan dia sebut bangsa orang yang dikutuk, aku secara automatik akan tangkap – si penulis punya niat jahat.

Kau nak hentam orang curi petak parking, cukuplah sekadar tulis “satu keluarga ini datang beruncit-runcit selamba masuk kotak perking yang aku dah lama tunggu siap bagi signal”.

Di saat kau tulis “satu keluarga MELAYU/ CINA/ INDIA ini datang beruncit-runcit selamba masuk kotak perking yang aku dah lama tunggu siap bagi signal” – apa yang sebenarnya nak kau sampaikan?

Adakah kau nak kata seluruh bangsa itu perangainya sama?

Kita sama-sama tahu dalam setiap bangsa pasti ada sekelumit dua yang perangainya memang celaka dan selayaknya sejak lahir terus dimasukkan sahaja dalam neraka.

Jadi kau jangan pakai main pukul rata.

Negara ini makin sakit. Usahlah ditambahkan lagi deritanya. Yang merana nanti kita dan anak cucu kita.