Bekas Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo Araujo pada Julai 2023 pernah menegaskan bahawa kelab gergasi Perancis itu akan menjadi lebih baik sekiranya pemain bintang mereka ketika itu, Kylian Mbappe meninggalkan Les Parisiens.
Kini selepas musim 2024/25 melabuhkan tirainya, PSG menamatkan penantian panjang selama 55 tahun dengan menjulang trofi UEFA Champions League buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Baca Juga:
- Nasser Al Khelaifi Sindir Mbappe: ‘La Liga Lebih Mudah Berbanding Ligue 1’
- Ballon D’Or: Kylian Mbappe Anggap Dembele Lebih Layak Berbanding Lamine Yamal
- Sacchi Pertahan Ancelotti Dan Sindir Mbappe
Sehubungan dengan itu, kenyataan Leonardo kembali menjadi sorota terutama selepas Mbappe sah berhijrah ke Real Madrid pada musim panas tahun lalu.

Seperti yang diketahui umum, hubungan dingin antara Leonardo dan pemain berusia 26 tahun itu turut menjadi faktor kepada pemecatan beliau pada Mei 2022.
Sepanjang beberapa tahun terakhirnya bersama PSG, nama Mbappe sering kali menjadi tumpuan bukan hanya kerana prestasi di atas padang, tetapi juga kerana pengaruh besar yang dikatakan dimilikinya dalam hal pemilihan pemain serta keputusan-keputusan kelab.
Sehubungan itu, Leonardo yang menyarung jersi PSG pada 1996/97 pernah meluahkan pandangannya bahawa kehadiran Mbappe lebih banyak mendatangkan kesan negatif kepada PSG secara keseluruhannya.
Pendapat Leonardo Tentang PSG dan Mbappe
“Demi kebaikan PSG, saya rasa sudah tiba masanya untuk melihat Mbappe pergi [meninggalkan pasukan], tidak kira apa jua keadaan sekali pun.”
“Paris Saint-Germain wujud sebelum Kylian Mbappe dan ia akan terus wujud selepasnya,” ujar Leonardo menurut sumber laporan Goal.
“Dia telah berada di Paris selama enam tahun dan sepanjang enam musim itu, lima kelab berbeza telah memenangi Liga Juara-Juara Eropah (merujuk kejayaan Real Madrid pada 2018 dan 2022, Liverpool pada 2019, Bayern Munich ketika 2020, Chelsea di musim 2023 dan Manchester City).

“Tiada satu pun daripadanya mempunyai Kylian Mbappe dalam barisan pemain mereka. Ini bermakna kemungkinan sepenuhnya boleh sahaja [PSG] memenangi kejohanan tersebut tanpa kehadirannya.”
Kini selepas Mbappe meninggalkan Parc des Princes, PSG tampil lebih tersusun sebagai satu pasukan dengan fokus kolektif menggantikan pendekatan bertunjangkan bintang semata-mata.
Kejayaan membelasah Inter Milan 5-0 pada perlawanan akhir UCL 2024/25 seakan menjadi bukti sahih kepada ramalan Leonardo dua tahun lalu bahawa PSG sebenarnya mampu lebih jauh tanpa bayangan besar Kylian Mbappe.