Baru-baru ini, penyanyi kumpulan wanita Dolla mendakwa telah ditahan oleh 3 orang lelaki yang menyamar sebagai polis pada Selasa lepas.

Walau bagaimanapun, polis telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan menepis dakwaan tersebut.

Baca Juga:

Menurut laporan, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, ketiga-tiga polis tersebut adalah polis sebenar yang sedang menjalankan tugas untuk pemantauan kegiatan ops pusat hiburan dan rondaan mencegah jenayah di kawasan Pentadbiran Puchong.

Difahamkan polis telah memperkenalkan diri mereka malah menunjukkan kad kuasa sebelum meminta kad pengenalan kumpulan wanita terbabit untuk semakan jenayah.

“Tindakan berkenaan diambil selepas mendapati empat wanita itu berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan pada 11.30 malam dan mereka kemudian dibenarkan beredar dari lokasi selepas pemeriksaan polis tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan,” katanya.

Terdahulu, kumpulan Dolla memuat naik foto di akaun Twitter mereka yang mendakwa ketiga-tiga polis tersebut menyamar sebagai anggota polis ketika mereka sedang menunggu kenderaan untuk pulang selepas selesai latihan menari.

Justeru itu, A Anbalagan turut mengatakan kumpulan berkenaan diminta tampil untuk memberi penjelasan bagi membantu siasatan sama ada terdapat kesalahan semasa anggota polis membuat rondaan.

Sumber