Kemaskini jadual perlawanan Liga Super 2024/26 yang dikeluarkan sebentar tadi menyaksikan aksi Sri Pahang bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Perlawanan pada 17 Disember itu pada mulanya dijadualkan bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh tetapi faktor cuaca telah menyebabkan pertukaran itu berlaku.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Baca Juga:

Malaysian Football League (MFL) mendedahkan secara ringkas dalam kemaskini tersebut mengatakan bahawa faktor hujan berterusan dan cuaca yang tidak menentu di pantai timur menjadi alasan kepada perubahan tersebut.

Perlawanan antara Sri Pahang dan JDT di SSI itu akan berlangsung pada jam 9.00 malam.

Sama seperti apa dilalui oleh Kelantan Darul Naim (KDN) dan Perak tempoh hari, meskipun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Sri Pahang akan kekal menjadi Pasukan Tuan Rumah (PTR).

Selepas beraksi 13 perlawanan setakat ini, Sri Pahang yang dibimbing Fandi Ahmad telah mengutip 15 mata hasil tiga kemenangan, enam keputusan seri dan empat kekalahan untuk menduduki tangga kelapan.

Manakala JDT yang sudah beraksi 15 perlawanan jelas berada di kelas tersendiri dengan mencatatkan 14 kemenangan dan satu keputusan seri untuk mengumpul 43 mata.

Unggul di tangga teratas liga setakat ini, skuad Harimau Selatan meninggalkan pencabar terdekat, Selangor dengan kelebihan 11 mata.

Selepas menghadapi JDT, skuad Tok Gajah itu akan bertemu Perak pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2024/25 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam ini.

JDT pula berkunjung ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras untuk pertemuan menentang KL City.

 

Sumber