Perak FC tampil mendedahkan sebab memilih untuk bersetuju menukar lokasi perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 November ini dari Stadium Majlis Perbandaran Manjung ke Stadium Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan laman Facebook rasmi kelab tersebut sebentar tadi, segala pertimbangan sewajarnya telah dibuat bagi menghormati pihak penganjur pertandingan.
Baca Juga:
- MFL: Dakwaan Perak FC Adalah Tidak Benar
- ‘Kami Tidak Diberi Peluang Untuk Berbincang’ – Pengerusi Perak FC
- Stadium Sultan Ibrahim Sah Venue Rasmi Aksi Perak-JDT
Keputusan itu diambil kerana Stadium Majlis Perbandaran Manjung dilihat seperti tidak cukup sesuai daripada aspek keselamatan untuk pertembungan pasukan seperti Perak dan JDT.
“Merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL)-Kemaskini Venue Perlawanan Liga Super Perak FC Menentang JDT, Perak FC ingin memaklumkan bahawa perlawanan tersebut akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 10 November 2024 (Ahad), pukul 8.15 malam atas persetujuan bersama.”
“Beberapa perkara teknikal telah dibangkitkan oleh pihak MFL berkaitan home venue bagi pasukan Perak FC antaranya Venue tidak sesuai untuk digunakan dan lampu limpah tidak melepasi piawaian minimum (sekiranya perlawanan ditunda ke waktu malam) serta berisiko tinggi jika berlaku hujan lebat dan bagi mengelakkan perlawanan ditangguh buat kali ketiga.”
“Mengambil kira risiko keselamatan perlawanan berprofil tinggi.”
“Perlawanan ini perlu dimainkan dan dilengkapkan bagi memastikan undian Piala Malaysia 2024/25 dapat dijalankan.”
“Sehubungan dengan itu, setelah pertimbangan dibuat dari segenap sudut serta bagi menghormati pihak penganjur dan pasukan-pasukan lain yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), Perak FC bersetuju untuk perlawanan yang dimaksudkan ini dilangsungkan di SSI demi kelancaran perjalanan Liga-M musim 2024/25.”
“Selari dengan pengumuman tersebut, Perak FC dengan ini menawarkan pengangkutan percuma kepada semua penyokong skuad The Bos Gaurus yang ingin ke SSI pada Ahad ini bagi menyaksikan serta memberikan sokongan kepada skuad kesayangan kita.”
“Yob dan yong yang berhasrat untuk ke SSl nanti boleh berhubung terus dengan Sekretariat Perak FC.”
“Selain itu, semua pemegang tiket perlawanan tertunda sebelum ini boleh menebus tiket-tiket tersebut di kaunter yang disediakan dan pihak kami akan menyalurkan maklumat-maklumat tersebut dengan kadar segera bagi kemudahan para penyokong Perak FC.”
“Pada masa sama, semua pemegang pas semusim juga adalah dibenarkan untuk masuk ke SSI bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Perak FC memohon maaf atas keputusan yang diambil ini setelah meneliti isu-isu teknikal yang dibangkitkan oleh pihak MFL dan segala kesulitan yang dialami oleh para penyokong skuad The Bos Gaurus.”
“Kami sekali lagi menyeru kepada semua yang berkesempatan dan berkelapangan untuk hadir beramai-ramai ke SSI bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan kita.”
Penjelasan panjang lebar diberikan itu bagaimanapun jelas tidak disenangi para penyokong Perak yang dilihat mengecam tindakan tersebut.