Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah difahamkan mendapat pembantu baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024/25 bermula Mei nanti.

Hal ini kerana Tengku Hazman Raja Hassan telah dipilih sebagai penolong jurulatih 1 buat pengendali berusia 47 tahun tersebut.

Baca Juga:

Kehadiran Tengku Hazman yang sebelum ini bersama Kelantan United dikatakan menggantikan V. Saravanan yang dilihat fokus bersama Akademi Perak FC.

Kredit Foto: Perak Football Club

Manakala, penolong jurulatih 2 pula masih disandang oleh Shahrulnizam Mustapa yang turut pernah bergelar ketua pasukan skuad Yob tersebut.

Meskipun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat tetapi kelibat bekas pemain skuad kebangsaan itu sudah kelihatan dalam sesi latihan pra-musim yang bermula dua hari lalu.

Tengku Hazman nyata bukan asing buat Yusri Che Lah kerana mereka pernah sama-sama menyarung jersi Selangor pada musim 2001 dan 2002.

Malah, mereka pernah menjulang trofi Piala Malaysia 2002 (tewaskan Sabah 1-0) dimana Yusri mengetuai cabaran skuad yang dibimbing mendiang Ken Worden tersebut.

Kredit Foto: Perak Football Club

Sementara itu, melengkapkan trio pemenang Piala Malaysia itu adalah kehadiran seorang lagi bekas rakan sepasukan mereka iaitu Lim Chan Yew yang akan bersama skuad Piala MFL Perak.

Lim akan menjadi pembantu kepada ketua jurulatih, Chan Wing Hoong yang masih lagi dikekalkan oleh Perak pada musim baharu ini.

Beliau yang turut merupakan pundit bagi aksi Liga Super dan perlawanan antarabangsa pernah bersama barisan kejurulatihan Sarawak United dan Selangor.