Pelakon tersohor kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, telah dilantik secara rasmi sebagai duta jenama global bagi pengeluar kereta mewah British, Bentley.

Pengumuman pelantikan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas pelancaran model terbaharu Bentley Torcal, yang merupakan barisan model generasi baharu sekali gus kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) pertama keluaran jenama terkemuka berkenaan.

Berita penuh bermakna ini turut diiringi dengan sebuah potret rasmi Yeoh yang diabadikan oleh Pengarah Kreatif Luaran Bentley, Greg Williams.

Melalui pelantikan ini, Bentley secara rasmi mengiktiraf hubungan erat Yeoh yang telah terjalin sekian lama dengan jenama tersebut, sekali gus mengalu-alukan beliau menyertai keluarga duta jenama globalnya yang semakin berkembang.

Hubungan Michelle Yeoh dengan Bentley mencerminkan minat yang sama seperti suaminya, Jean Todt yang meminati kereta Bentley dengan memiliki model Continental S3 (1965), Mulsanne (2019) dan Flying Spur Speed 1st Edition (2025).

Mengulas mengenai pelantikan dan pemilihannya sebagai duta jenama global ini, Michelle Yeoh meluahkan rasa bangga atas jalinan kerjasama berkenaan.

“Sepanjang lebih empat dekad di layar perak, daripada cinema aksi Hong Kong hingga ke Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Everything Everywhere All at Once, saya sentiasa tertarik dengan kisah-kisah transformasi—mengenai watak yang terus berkembang tanpa hilang jati diri asal mereka. Bentley menterjemahkan idea yang sama: sebuah jenama yang sentiasa memperbaharui dirinya berulang kali sambil kekal setia kepada seni pertukangan dan jiwanya. Sebab itulah kerjasama ini terasa amat semula jadi bagi saya. Torcal mewakili babak baharu Bentley, dan saya berasa amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan kisah ini,” ujar Michelle Yeoh.

Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Bentley, Ben Whattam turut menyampaikan nada keyakinan yang tinggi terhadap pelantikan pelakon lagenda berkenaan.

“Sebagai seorang bintang aksi, ikon filem Bond dan lagenda global, Yeoh menterjemahkan semangat prestasi tinggi Bentley serta dedikasi terhadap seni pertukangan yang disempurnakan selama berdekad-dekad. Melalui pengumuman peranan beliau sebagai duta jenama global seiring dengan pelancaran Torcal baharu ini, kami berharap dapat menghidupkan keyakinan, keperibadian dan ambisi yang mendefinisikan Bentley pada hari ini,” kata Whattam.