Tonggak import DPMM FC, Miguel Oliveira menyifatkan motivasi pasukan tetap tinggi untuk kembali bangkit meskipun masih kemarau kemenangan dalam 4 aksi Liga Super setakat ini.

3 tewas dan 1 seri bukanlah keputusan yang diinginkan oleh skuad kendalian Jamie McAllister ini untuk meletakkan mereka di tangga tercorot Liga Super.

Baca Juga:

Miguel Oliveira bagaimanapun tidak menganggap situasi itu satu tekanan yang boleh menjejaskan persiapan pasukan sebaliknya mereka tetap dalam persediaan terbaik untuk mengharungi perlawanan seterusnya berdepan Kelantan The Real Warriors malam ini.

Pemain dari Portugal ini turut percaya percaturan jurulatih yang telah melakukan beberapa perubahan taktikal dan menyediakan perancangan yang lebih berbeza untuk memastikan mereka berjaya meraih kemenangan pertama.

“Kita memang tak menang lagi perlawanan liga setakat ini, tapi itu tidak melemahkan kita semua sebaliknya semakin bersemangat untuk cuba bangkit dalam aksi lain selepas ini.

“Untuk ubah kedudukan ini, kita sendiri kena tahu kelemahan pasukan, kena ada motivasi yang tinggi dan kena positif untuk belajar daripada kesilapan dalam perlawanan terdahulu.

“Sekarang jurulatih ada buat beberapa perubahan dalam latihan, dan kita perlu fokus biarpun dalam sekecil-kecil perkara yang mungkin boleh ubah balik permainan kita.

“Apa pun, Kelantan (TRW) sekarang tidak kurang hebatnya dan kita sedar cabaran yang menanti malam ini sebab mereka pun baru tewas dua kali, tapi kita perlu fokus untuk pasukan sendiri dahulu”, jelasnya.

Miguel Oliveira Akui Liga Malaysia Sangat Kompetitif

Dalam masa sama, Oliveira tidak menolak kelab-kelab di Liga Malaysia sangat kompetitif dan setiap pemain daripada lawan punya kualiti tersendiri yang banyak mengajar dirinya untuk sentiasa perbaiki kelemahan dalam setiap perlawanan.

“Saya pertama kali main di sini dan apa saya boleh katakan Liga Malaysia sangat kompetitif dan saya dah boleh jangkakan daripada awal yang ianya tidak mudah.

“Saya pun agak bergelut apatah lagi sekarang saya ada sikit kecederaan, tapi saya yakin permainan saya akan lebih baik untuk terus bantu pasukan mendapatkan keputusan terbaik selepas ini”, tambah Miguel Oliveira lagi.

Skuad bimbingan E. Elavarasan bertandang ke Brunei Darussalam untuk berdepan DPMM FC malam ini selain dua lagi perlawanan akan berlangsung esok menyaksikan Negeri Sembilan FC menentang Sabah FC manakala Kuala Lumpur akan melawan Terengganu FC.