Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu aktiviti tidak bermoral dalam kawasan kem yang sedang tular ketika ini.

“Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu yang tidak berkaitan serta aktiviti-aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam kem tentera seperti yang tular di media sosial.

“Sehubungan itu, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.

“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan,” petik kenyataan rasmi itu.

Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa sekiranya dakwaan isu tular itu adalah benar.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.

Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.