Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyatakan kekecohan yang membabitkan rakyat Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur dengan anggota keselamatan yang tular di media sosial baru-baru ini sudah diselesaikan, lapor Harian Metro.

Menurutnya, kakitangan kedutaan sudah melawat pusat berkenaan dan bertemu dengan pegawai keselamatan serta rakyat Palestin yang terlibat untuk menyelesaikan perkara itu.

Baca Juga:

“Saya mengecam apa yang berlaku, dan ia tidak sepatutnya berlaku lagi,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Walid menyatakan individu terbabit bertindak secara emosi kerana kecewa tidak dibenarkan keluar dari pusat itu atas sebab keselamatan.

Walid berkata beliau sudah bertemu pegawai Kementerian Pertahanan pagi Jumaat untuk membincangkan keadaan itu, petik laporan itu lagi.

“Isu ini telah dibincangkan dan diselesaikan. Apa yang berlaku adalah salah, dan kami tidak mahu memanjangkannya.

“Bagi pihak Palestin, saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau sekali lagi menyatakan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia, serta rakyat Malaysia atas sokongan kuat terhadap perjuangan Palestin.

Sumber