Tular di media sosial sejak Rabu lalu, sekumpulan warga Palestin dilaporkan membuat kecoh dan mengamuk di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) hingga menyebabkan beberapa kerosakan di premis tersebut.

Menurut laporan Majoriti dan kenyataan yang dikeluarkan, insiden bermula apabila salah seorang wanita warga Palestin tidak berpuas hati dengan tindakan pihak keselamatan yang melarangnya untuk menginap di luar pusat transit berkenaan.

Wanita tersebut kemudian bertindak di luar kawalan dengan membuat kecoh di hadapan Balai Pengawal Wisma Transit, ditemani oleh ahli keluarga dan beberapa rakan.

Beberapa individu yang terlibat dilihat cuba melepaskan kemarahan mereka terhadap pasukan keselamatan, sekaligus memulakan insiden yang melibatkan kerosakan harta benda di kawasan lobi bangunan tersebut.

Dalam rakaman video yang tersebar di media sosial, kelihatan seorang wanita warga Palestin bertudung merah jambu mengamuk dengan bertindak menendang perhiasan di lobi Wisma Transit, mengakibatkan perhiasan pecah.

Tindakan wanita itu tidak hanya mencetuskan kekecohan tetapi juga perang mulut antara dirinya dengan pengawal keselamatan.

Walaupun beberapa pegawai bertugas cuba menenangkan keadaan, salah seorang daripada warga Palestin itu dilaporkan bertindak agresif dengan membaling selipar ke arah pegawai keselamatan.

Wakil Kedutaan Palestin turut hadir di tempat kejadian, namun usaha untuk meredakan keadaan tidak berjaya.

Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat Malaysia.

Ada yang bersimpati dengan warga Palestin dan merasakan bahawa tekanan emosi akibat situasi di negara asal mereka mungkin menjadi faktor yang mencetuskan insiden ini.

Namun, ada juga yang mengecam tindakan agresif tersebut, kerna tidak menghormati undang-undang dan merosakkan harta benda awam.