Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan perintah notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Mirzan Mahathir, seorang ahli perniagaan dan anak bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir.

Perintah tersebut memerintahkan Mirzan Mahathir untuk mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih dalam pegangannya, sama ada di dalam atau luar negara, dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

Baca Juga:

Langkah ini merupakan hasil siasatan SPRM berhubung maklumat yang terdapat dalam laporan Kertas Panama dan aktiviti perniagaannya yang melibatkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan ini dilaksanakan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mirzan Mahathir telah hadir di ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan, dan perintah notis ini dianggap sebagai langkah lanjutan dalam siasatan yang telah dimulakan sejak Ogos 2022 terhadap entiti-entiti yang berkaitan dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora dan Kertas Panama.

Sebanyak 10 saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan, dan siasatan masih berlangsung dengan pemeriksaan dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang terlibat.

Sumber