Pada 31 Ogos yang lalu, Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, kumpulan pendaki Ajul Adventura Empire ft BOG Malaysia telah melakar sejarah dengan misi luar biasa: menamatkan Trans Chamah–Ulu Sepat sejauh 58km dengan 4,500m Elevation Gain (EG) dalam masa kurang daripada 24 jam.

Lazimnya, laluan ini mengambil masa 4–5 hari, tetapi pasukan ini memilih versi Ultralight Dayhike untuk mencabar had diri.

“Misi ni bukan sekadar cabaran fizikal, tapi juga mental. Sempena Hari Merdeka, kami buktikan semangat anak muda – tiada yang mustahil,” kata Ajul, ketua kumpulan ekspedisi ini.

Misi Cabar Diri Berjaya, Tawan Trans Chamah–Ulu Sepat Sejauh 58km Dalam Masa 24 Jam
Ajul ketua kumpulan Ajul Adventura Empire

Perjalanan bermula di Pos Simpoh seawal jam 2.18 pagi; dalam gelap malam dan hanya ditemani cahaya lampu di kepala dan semangat. Trek awal masih jinak, namun semakin mencabar apabila menghampiri Kampung Rekom.

Selepas menunaikan solat Subuh di Anak Chamah, pendakian diteruskan hingga ke Puncak Chamah (2,171m) pada jam 8.20 pagi. Walaupun kabus tebal menutup pemandangan, rasa puas tetap hadir setibanya di checkpoint pertama berjaya ( 6 jam).

Misi Cabar Diri Berjaya, Tawan Trans Chamah–Ulu Sepat Sejauh 58km Dalam Masa 24 Jam
Sebahagian peserta sempat berswafoto di Kampung Rekom

Selepas turun semula ke Kampung Rekom, kumpulan berehat di tepi sungai besar. Tepat jam 1.45 petang mereka meneruskan perjalanan panjang menuju ke Kem Sungai Lepir melalui laluan yang sunyi, berlumpur dan penuh akar, termasuk satu lintasan sungai besar.

Mental benar-benar diuji, namun semangat kekal membara. Pasukan tiba di Kem Sungai Lepir pada jam 7.20 malam .Kami berhenti berehat dan mengalas perut dalam 30 minit dan meneruskan perjalanan.

Misi Cabar Diri Berjaya, Tawan Trans Chamah–Ulu Sepat Sejauh 58km Dalam Masa 24 Jam
Peserta meniti balak tumbang di Sungai Besar dalam perjalanan menuju ke Kem Sungai Lepir

Bahagian paling mencabar sekaligus paling indah ialah ketika menuju Puncak Ulu Sepat (2,161m). Hutan lumut yang lembap, trek pacak, dan suasana berkabus menjadikan pendakian benar-benar mendebarkan.

Kumpulan ini tiba di puncak pada jam 9.25 malam (19 jam). Ketika itu, misi hampir pasti berjaya kerana baki trek 95% adalah menurun. Jam 9.25 malam – Peserta berada puncak Ulu Sepat.

Misi Cabar Diri Berjaya, Tawan Trans Chamah–Ulu Sepat Sejauh 58km Dalam Masa 24 Jam
Jam 9.25 malam – Peserta tiba di puncak Ulu Sepat

Selepas melalui trek menurun yang licin dan berakar, serta sempat berhenti seketika di Kem Sungai Lenweng, pasukan meneruskan langkah terakhir menuju ke Pos Kemar. Akhirnya, pada jam 1.49 pagi 1 September 2025, kumpulan ini berjaya keluar dari hutan. Misi ‘gila’ tercapai – 58km, 4500m EG, Sub-24 Jam!

“Dalam hidup ini, tiada yang mustahil dan kami telah membuktikannya. Kami pasti tidak akan melupakan pendakian ini,” kata Ajul.

laluan Trans Chamah–Ulu Sepat yang biasanya ambil masa 4 atau 5 hari, ditawan dalam masa sehari sahaja. Lebih-lebih lagi ia dilakukan sempena Hari Merdeka 2025, kejayaan ini menjadi hadiah paling bermakna buat semua yang terlibat.