Misteri empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian sebelum ini akhirnya terjawab selepas dilaporkan sudah ditemui selamat.
Berita berkenaan dikongsikan oleh ayah kepada dua orang kanak-kanak, iaitu antara yang dikhuatiri hilang melalui perkongsian Facebooknya, Ah Pek pada hari semalam.
Baca Juga:
- Motosikal Hilang Di Selayang, Jumpa Semula Di Kuching Selepas 12 Tahun
- 3 Tahun Duduk Percuma, Tuan Rumah ‘Hilang’ Alasan Individu Ini Mahu Jual Rumah Sewa Didiaminya
”Alhamdulilah ibu mertua, adik ipar lelaki dan dua orang anak saya telah selamat dijumpai. Terima kasih pada semua rakan, pihak polis dan semua yang terlibat membantu kes ini sehingga selesai”.
Menurutnya lagi, beliau kini dalam perjalanan dari Terengganu dan menuju pulang ke Kluang untuk menarik balik laporan polis yang dibuat.
”Tanpa bantuan anda siapalah saya. Sekali lagi ucapan ribuan terima kasih bagi semua yang membantu, mendoakan, menyampaikan.
”Semoga Tuhan membalas jasa baik dan niat murni tuan-tuan semua. Alhamdulilah, syukur,” katanya lagi.
Memetik laporan lanjut oleh Sinar Harian, kerosakan telefon bimbit akibat dimasuki air ketika melakukan aktiviti ‘snorkeling‘ di Pulau Perhentian, Terengganu, pada Sabtu lalu menjadi punca empat sekeluarga terputus hubungan dan tidak dapat dijejaki.
Suraidah Abdul Ghani, 52 berkata, aktiviti ‘snorkeling‘ tersebut merupakan sebahagian aktiviti percutian ke Terengganu bersama anak lelaki, Muhammad Aiman Rafee, 21 dan dua orang cucu, Sasa Alesha Mohd Saiful, 7 serta Ahmad Dhani Mohd Saiful, 4.
Tambahnya lagi, mereka berempat bergerak ke Terengganu menaiki Proton Saga pada Khamis lalu untuk bercuti selama lima hari di sana dan merancang untuk pulang ke Kluang pada 3 Oktober.
“Bila telefon saya dan Aiman masuk air disebabkan beg yang digunakan untuk ‘snorkeling’ bocor, keadaan menjadi kelam kabut. Saya cuba ‘on’ semula telefon tetapi gagal.
“Banyak nombor telefon kami tidak ingat, lepas itu Aiman ada guna ipad untuk hubungi kakaknya tetapi tidak mendapat jawapan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Lambak, di sini pada Selasa.
Menceritakan dengan lebih lanjut, Suraidah mengambil keputusan untuk daftar keluar resort di Pulau Perhentian lebih awal iaitu pada 1 Oktober (Ahad) kerana cucunya Sasa Alesha mengalami demam panas.
Saya dan Aiman membawanya ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk mendapat rawatan. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu selepas itu.
“Perjalanan ke Kuala Terengganu mengambil masa agak lama kerana saya tidak dapat menggunakan aplikasi ‘waze’ disebabkan telefon bimbit rosak, ipad pula tiada ‘wifi’. Kami terpaksa berhenti beberapa kali sepanjang perjalanan untuk gunakan ‘wifi’ di kedai-kedai,” ujarnya.
Suraidah memberitahu mereka tiba di Kuala Terenggganu pada sebelah malam pada Ahad dan terus daftar masuk ke hotel berhampiran.
“Saya sudah berjanji dengan cucu-cucu untuk berjalan di Kuala Terengganu, melawat Masjid Kristal dan Muzium Terengganu. Kami berada di Kuala Terengganu pada Isnin dan mulakan perjalanan pulang ke Kluang pada pagi Selasa.
“Saya hanya menyedari berita yang tular mengenai kehilangan kami di Pulau Perhentian sebaik tiba di rumah pada 2 petang Selasa. Saya tidak sangka, ia tular,” katanya.
Dalam masa sama, Suraidah memanjatkan kesyukuran percutian yang dirancang tidak berdepan kesulitan walaupun telefon bimbit rosak dan terputus hubungan.