Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan inisiatif terbaharu melalui pengenalan Permit Harian Penjaja Bergerak (Tanpa Kenderaan) di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Langkah proaktif ini diperkenalkan khusus buat penjaja kecil bagi memastikan mereka dapat mencari rezeki secara sah dan teratur sepanjang bulan suci Ramadan ini.

Inisiatif ini merupakan satu solusi “menang-menang” yang dirangka untuk menyantuni peniaga kecil tanpa mengabaikan aspek ketertiban bandar raya.

Melalui pendekatan penguatkuasaan yang mesra dan berhemah, petugas DBKL kini menyediakan perkhidmatan pendaftaran segera di lokasi.

Ini membolehkan penjaja memperoleh permit dengan mudah tanpa perlu melalui proses birokrasi yang rumit, sekali gus menghapuskan kebimbangan mengenai tindakan penguatkuasaan jika berniaga tanpa lesen.

Peluang Niaga yang Sistematik

Pelaksanaan permit harian ini bukan sekadar memberi ruang berniaga, malah ia bertujuan untuk memastikan kawasan tumpuan ramai itu kekal bersih, selamat, dan selesa buat semua pengunjung.

Dengan kadar bayaran serendah RM10 sehari, penjaja diberi peluang untuk menawarkan pelbagai barangan seperti makanan dan minuman berbungkus, bunga, belon, serta permainan kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, aktiviti yang melibatkan memasak di lokasi atau penyediaan air balang tidak dibenarkan bagi menjamin tahap kebersihan dan kesihatan awam.

Info Ringkas Permit & Operasi

Bagi memudahkan urusan para peniaga, berikut adalah perincian mengenai permit tersebut:

Lokasi Pengeluaran Permit: BIT Penguatkuasaan DBKL (Berhadapan Bangunan MUAZ).

Masa Pengeluaran: 4:00 petang hingga 9:00 malam (Perlu diperbaharui setiap hari).

Masa Operasi Perniagaan: 6:00 petang hingga 12:00 tengah malam.

Kadar Bayaran: RM10.00 sehari.

Mendahulukan Kesejahteraan Bandar

Modal Hanya RM10 Sehari, Ini Cara 'Peniaga Rambo' Boleh Niaga Secara Sah Di Jalan TAR Sepanjang Ramadan
Sumber Gambar: Facebook

Langkah ini membuktikan komitmen DBKL dalam mengutamakan pendekatan edukasi dan kerjasama berbanding tindakan punitif semata-mata.

Dengan adanya kawalan yang lebih sistematik, isu halangan lalu lintas dan pejalan kaki dapat diminimumkan, sekali gus mewujudkan suasana membeli-belah yang lebih harmoni di Jalan TAR.

DBKL menyeru semua pihak untuk terus memberikan kerjasama bagi memastikan kelestarian dan keindahan bandar raya Kuala Lumpur terus terjaga.

Usaha ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi mikro yang lebih sihat dan berdisiplin di ibu kota.

Hantaran yang dibuat oleh pihak DBKL menerusi laman rasmi Facebook itu pada hari semalam itu malah mendapat pujian ramai kerana percaya ini merupakan inisiatif yang bernas dan saksama.