Sebuah detik bersejarah dan penuh kebanggaan buat jenama Malaysia apabila salah seorang Pengasas Mokky’s Pizza, Muhamad Shahmi, berjaya meraih Tempat Ketiga dalam pertandingan kulinari California Milk Pizza Competition yang berlangsung di Culinary Institute of America (CIA), Napa Valley.
Menerusi hantaran media sosial Mokky’s Pizza, beraksi di CIA Napa Valley disifatkan bukan sekadar satu pertandingan kulinari, malah menjadi medan berharga untuk menimba ilmu baharu, menjalin hubungan profesional dengan pakar industri antarabangsa, serta mempamerkan kebolehan dan kreativiti bakat Malaysia di mata dunia.
“Pengalaman ini lebih daripada sekadar sebuah pertandingan. Ia adalah platform berharga untuk belajar, memperluas rangkaian, dan membuktikan bahawa bakat tempatan kita mampu bersaing secara sihat di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Idea yang diketengahkan adalah ‘Beef Birria with Malaysian Flavour, meets California Artisan Cheese, on a pizza‘ dengan rasa Asam Pedas.
Pada masa sama pihak Mokky’s ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada California Milk Advisory Board atas sokongan dan peluang yang diberikan sehingga merealisasikan perjalanan itu menjadi cukup bermakna.
California Milk Pizza Competition ialah pertandingan kulinari antarabangsa anjuran California Milk Advisory Board yang menghimpunkan pembuat piza dan chef profesional dari seluruh dunia untuk menonjolkan kreativiti serta kemahiran pembuatan piza masing-masing.
Dalam pertandingan ini, para peserta dicabar untuk mereka cipta resipi piza inovatif dengan memanfaatkan keunikan dan kualiti tinggi pelbagai jenis keju serta produk tenusu asli bertanda — Real California Milk — satu pengiktirafan di bawah California Milk Advisory Board (CMAB) yang menandakan bahawa sesebuah produk tenusu dihasilkan menggunakan 100% susu lembu asli daripada ladang tenusu berkeluarga di California, Amerika Syarikat.