Pihak Monash University telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindak balas terhadap satu amaran keselamatan pada malam tadi berikutan wujudnya kemungkinan ancaman bom di kawasan kampus.

Berikutan insiden tersebut, pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh telah dijalankan. Balai Polis Daerah Subang Jaya kini telah mengesahkan bahawa keadaan adalah selamat sepenuhnya dan bebas daripada sebarang ancaman.

“Terdahulu pada hari ini, pihak universiti telah mengaktifkan prosedur tindak balas kecemasan susulan laporan mengenai ancaman bom. Sebagai langkah berjaga-jaga, proses pemindahan keluar dari kampus telah dilaksanakan, dan akses ke kawasan berkenaan disekat buat sementara waktu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan penilaian yang menyeluruh.

“Susulan pengesahan keselamatan serta selesainya siasatan menyeluruh oleh pihak polis, kebenaran telah diberikan untuk kampus kembali beroperasi seperti biasa.

“Pihak kami merakamkan ucapan terima kasih kepada Balai Polis Daerah Subang Jaya serta pihak berkuasa berkaitan atas tindakan pantas dan profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang insiden ini ditangani,” kata pihak Monash University.

Susulan daripada pengesahan rasmi tersebut, kampus Sunway City telah diisytiharkan selamat dan kembali beroperasi seperti biasa pada hari ini, 5 Jun.

Kampus CSJB Monash University Masih DitutupĀ 

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan universiti memaklumkan bahawa kampus CSJB akan kekal ditutup sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam kenyataan yang sama, pihak Monash University turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan, para pelajar, serta pelawat atas tahap kerjasama dan sokongan yang baik sepanjang insiden ini ditangani.