Baru-baru ini, Malaysia Airlines telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik selama tiga tahun bersama Atout France, organisasi pelancongan rasmi Perancis.
Kerjasama ini bukan biasa-biasa tetapi ia bertujuan untuk mengukuhkan promosi pelancongan dan menarik lebih ramai pelawat ke Perancis melalui rangkaian penerbangan Malaysia Airlines yang meluas.

Majlis menandatangani MoU ini telah berlangsung pada 20 April 2025, dengan kehadiran wakil kanan dari kedua-dua organisasi.
Momen ini menjadi permulaan kepada satu kerjasama besar yang bakal membuka lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia (dan juga pelancong Asia Tenggara) merasai keunikan Perancis dari segi budaya, makanan hingga ke tempat-tempat ikonik seperti Menara Eiffel dan Louvre Museum.
Paris kini lebih dekat dari yang anda fikir
Menurut Dersenish Aresandiran, Ketua Pegawai Komersial Penerbangan Malaysia Aviation Group, Perancis merupakan pasaran penting bagi Malaysia Airlines.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Atout France dalam mempromosikan perjalanan ke salah satu destinasi paling ikonik di dunia.
Dengan kekuatan rangkaian global kami dan hospitaliti Malaysia yang menjadi kebanggaan, kami yakin dapat berikan pengalaman yang lancar dan tidak dapat dilupakan,” katanya.
Kerjasama ini akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak. Malaysia Airlines dengan ketersambungan global dan layanan mesra ala Malaysia dan Atout France dengan kepakaran mempromosikan keunikan Perancis sebagai destinasi pelancongan.
Apa yang menanti anda di Perancis?
Melalui kerjasama ini, bakal ada pelbagai kempen promosi, pemasaran dan inisiatif bersama yang akan memudahkan anda merancang percutian impian ke Perancis.
Bayangkan, dari berjalan di Champs-Élysées, menjelajah seni di Louvre, hinggalah menikmati croissant panas di sebuah kafe tepi jalan, semua ini kini lebih mudah diakses melalui penerbangan Malaysia Airlines.
Agnès Angrand, Timbalan Pengarah Atout France untuk pasaran Asia Timur, turut optimis dengan kolaborasi ini.
“Kami yakin kerjasama ini akan bantu kukuhkan Perancis sebagai destinasi pelancongan utama untuk rakyat Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Kerjasama ini bukan sekadar membawa pelancong ke Perancis tetapi ia juga dijangka memberi impak ekonomi positif. Apabila lebih ramai pelancong ke Paris, permintaan terhadap hotel, restoran, pengangkutan dan aktiviti pelancongan juga akan meningkat, sekaligus memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan industri berkaitan di kedua-dua negara.
Lebih menarik, ia turut menggalakkan pertukaran budaya dimana pelancong Malaysia berpeluang merasai sendiri warisan dan tradisi Perancis, manakala rakyat Perancis pula semakin mengenali keunikan budaya Malaysia.
Apa yang boleh kita harapkan seterusnya?
Kerjasama seperti ini sangat penting dalam memulihkan keyakinan pelancong dan menggiatkan semula industri pelancongan global.
Langkah Malaysia Airlines dan Atout France ini mungkin jadi contoh kepada lebih banyak kolaborasi antarabangsa di masa depan.
Jadi, kalau anda tengah cari destinasi percutian luar negara yang penuh gaya, budaya, seni dan makanan sedap, Paris semestinya patut ada dalam wishlist anda.
Dengan sambungan penerbangan yang semakin lancar, siapa tahu? Tahun ini mungkin tahun anda akhirnya jejak kaki di Kota Cinta!