Hasrat Pahang Rangers untuk terus memberikan tekanan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 tampak semakin sukar selepas tewas 5-6 kepada Selangor, malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam menyaksikan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.

Baca Juga:

Tonggak skuad kebangsaan itu hanya memerlukan dua minit untuk meletakkan namanya selaku penjaring selepas beliau memintas hantaran Akmarulnizam Idris dan meluru pantas ke hadapan lalu menewaskan penjaga gol Pahang Rangers, Zainulzahin Sinuan.

Semini kemudian, satu lagi kesilapan pemain pasukan pelawat dihukum anak buah Edgar Baldsso dimana Wellington Pereira mudah menolak masuk bola susulan usaha Faris Johan merampas bola daripada kaki Felipe de Souza untuk kedudukan 2-0.

Tidak cukup dengan itu, Selangor menambah dua lagi jaringan menerusi Faris Johan (minit kelapan) dan Wellington berselang tiga minit kemudian.

MPFL 2024: Misi Pahang Rangers Semakin Sukar, Tewas Kepada Selangor
Kredit Foto: FAM

Tersentak dengan empat jaringan tersebut, Pahang Rangers kembali bangkit dengan dua gol oleh Felipe pada minit ke-12 dan Murilo Carlos Saad (minit ke-14).

Momentum positif itu terhenti seminit kemudian berikutan gol dihasilkan oleh Syahir tetapi aksi semakin menarik dengan Felipe menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-16.

Tidak mahu melihat Pahang Rangers terus bangkit, Gabriel Rosa yang membuat penampilan sulung bersama Selangor menjadikan kedudukan 6-3.

Memasuki babak kedua, skuad kendalian Gerard Casas Ullestre itu cuba bangkit dengan dua jaringan tambahan menerusi Akmarulnizam dan Sufri Shamil tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan kelima buat Selangor musim ini.

Dengan keputusan tersebut, JDT berpeluang untuk menjarakkan kedudukan kepada lapan mata sekiranya berjaya menundukkan Terengganu pada 3 Julai nanti.