Model dan influencer terkenal, Siew Pui Yi atau lebih dikenali sebagai Ms PuiYi, telah berjaya memenangi kes mahkamah terhadap bekas rakan niaganya, Lai Kai Jian, dengan jumlah pampasan RM4.3 juta.

Keputusan ini diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 26 Julai setelah Lai gagal hadir ke mahkamah, yang memberikan PuiYi ‘Judgment in Default’ (JID), lapor FMT.

Dalam satu sidang media di pejabat peguamnya K. Mahendren di Green Hall, Siew mendedahkan bahawa beliau telah ditipu oleh Lai yang berjanji untuk menyelesaikan isu cukai peribadi dan syarikatnya.

Namun, dalam saman yang difailkan pada April tahun lalu, Siew mendakwa Lai tidak menunaikan janjinya dan sebaliknya melarikan diri dengan wang tersebut.

Laporan polis kemudian dibuat pada 24 Oktober 2023, lapor Malay Mail.

Akibat dari insiden ini, Siew dikenakan larangan perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan terpaksa melepaskan empat acara di Australia.

“Saya kecewa kerana tidak dapat ke luar negara selama tiga bulan. Nasib baik, perkara ini sudah diselesaikan,” katanya.

“Klien-klien saya memahami dan saya berjaya menggantikan tarikh bagi acara-acara di Australia,” tambahnya lagi.

Peguamnya, Mahendren, menyatakan bahawa butiran penyelesaian kes ini masih dirahsiakan atas nasihat LHDN.

Menurut Siew, kali terakhir beliau melihat Lai adalah pada Ogos tahun lalu dan mereka masih berhubung sehingga Oktober.

Mahendren turut menjelaskan bahawa writ saman telah dikeluarkan kepada Lai, termasuk menghantarnya melalui pos berdaftar, menampal notis di kediaman berdaftar dan menyiarkan notis di dua surat khabar.

Namun, semua usaha ini tidak mendapat jawapan.

Tambahnya, polis masih berusaha untuk mengesan Lai selepas membuat beberapa lawatan ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Pada April lalu, beliau berkata lelaki yang dikenali sebagai ‘Mentos’, pengarah syarikatnya berusia 29 tahun, diminta menjelaskan tunggakan cukai firma itu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun lepas.

Bagaimanapun, Ms Puiyi mendakwa lelaki tersebut melarikan diri tanpa membuat sebarang bayaran.

Pada masa sama, dia mendakwa baru menyedari lelaki itu telah menyeleweng dana daripada syarikatnya PY Empire Sdn Bhd sejak Jun 2022.

“Saya telah diperkenalkan kepadanya oleh rakan pada 2019 dan dia dilihat sebagai seorang yang berintegriti tinggi.

“Dia menguruskan hal sumber manusia syarikat saya dan melaburkan dana syarikat (saya),” katanya pada sidang media di Green Hall di sini.

“Saya mempercayainya dan memberinya jumlah (hampir RM4.3 juta). Tetapi dia tidak menjelaskan tunggakan cukai pendapatan seperti yang diarahkan. Disebabkan perbuatannya, saya mengalami kerugian,” kata Ms PuiYi.