Kehadiran video-video sifu ‘trading’ yang mendakwa kerja 9-5 umpama hamba kepada sesebuah syarikat sambil menayang kemewahan kononnya hasil daripada perdagangan digital telah mempengaruhi sebahagian individu yang melihatnya.
Baru-baru ini, seorang individu tanpa nama sebenar menerusi platform Reddit telah berkongsi kisah gelap hidupnya apabila telah membelanjakan kesemua wang simpanan untuk membuat forex.

Pada mulanya, dia mendakwa telah muak dengan kerja 9-5 sehari dan nekad mahu melakukan perubahan di dalam hidupnya dengan menyimpan RM10,000 lalu didagangkan di dalam platform Forex.
Yakin bahawa Forex bakal menjadi tiket untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik, dia langsung meletakkan jawatan dan menjejak kaki ke dalam pasaran Forex beberapa bulan lalu.
Tambahnya, dia sudah memahami selok belok untuk melakukan perdagangan digital tersebut dan berfikir boleh membuat duit dengan mudah menerusinya.
Pada suatu hari, dia memilih untuk melakukan perdagangan dengan jumlah yang sangat besar. Dia meletakkan kesemua wangnya pada kaunter GBP/JPY dan berharap nilainya akan melonjak naik selepas sudah beberapa kali melakukan perdagangan dengan jayanya sebelum ini.
Namun percaturan individu itu hanya menemui kehampaan apabila perubahan pasaran memperlihatkan nilai dagangannya menurun dengan mendadak secara tiba-tiba.
Mimpi ngeri buat dirinya kerana transaksi perdagangan yang dahulunya membawa keuntungan telah berubah kepada kerugian besar.
Dia seperti terkesima melihat wang simpanan berjumlah RM10,000 yang menjadi taruhan untuk mengubah hidupnya menjadi sia-sia sahaja. Dia cuba bertahan untuk melihat sebarang perubahan tetapi jumlah kerugian semakin bertambah sehingga ke pengakhiran lalu kesemua simpanan hilang begitu sahaja.
Ujar individu berkenaan, ini merupakan satu pengajaran yang sukar dan akui pasaran forex ini tidak boleh diduga serta tidak semudah yang disangka.
Kini dia terpaksa bermula daripada bawah dengan tiada sebarang simpanan lagi dan memikirkan langkah seterusnya untuk bangkit dalam kehidupan. Malah, dia melihat ia sebagai satu pengajaran di dalam hidup di samping akan lebih berhati-hati dalam membuat perancangan kewangan di masa kelak.