Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Muslim Ahmad mencipta kejutan apabila merekodkan kemenangan pertama dalam perlawanan Muay Thai yang berlangsung di Padang Serai, Kedah semalam.
Lebih menarik, Muslim menumbangkan lawannya, Atingpek dengan menggunakan lutut sehingga rebah sekaligus dinobatkan sebagai pemenang dengan ‘TKO’.
Baca Juga:
- Muslim Ahmad Kini Beralih Ke Sukan Muay Thai
- Lihat Filem Pendek Muay Thai Yang Menceritakan Tentang Kehidupan Peninju Thailand
- Johan Ghazali Anggap Muay Thai Lebih ‘Real’ Berbanding Silat
Keputusan itu membuktikan Muslim mampu menyinar dalam sukan Muay Thai jika jika diberi peluang menyertai lebih banyak kejohanan.
Lihat rakaman video yang memaparkan aksi Muslim menumbangkan lawan dengan lututnya di sini (minit 2:24)
Muslim sebelum ini beraksi bersama Terengganu (2021), Kelantan (2016) serta Pahang (2017-2023) dalam saingan Liga Super.
Namun beliau menegaskan masih belum bersara daripada sukan bola sepak dan kini sedang menanti tawaran daripada pasukan baharu.
“Sebenarnya saya juga sudah biasa dengan sukan Muay Thai ini dan telah dikelilingi oleh orang-orang dari sukan ini juga sejak dari kecil jadi saya dah ada sedikit asas.
“Tetapi saya tidaklah cakap saya secara rasmi dah bersara dalam bola sepak, cumanya sekarang saya masih menunggu tawaran daripada mana-mana pasukan.
“Dan sambil menunggu, sebab itu saya ingin mencuba sukan Muay Thai dan bagus juga untuk saya sebab dapat tahu lebih dekat tentang sukan ini.
“Saya pun tak tahu berapa jauh saya boleh pergi dalam sukan ini tapi untuk kali pertama ini, saya dah berlatih dalam 7 hari, agak mencabar juga tapi saya cubalah”, jelasnya kepada MFL.
Pemain yang berusia 35 tahun itu pernah membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF buat kali pertama pada tahun 2010 ketika dibawah kendalian Datuk K.Rajagobal.
Beliau juga merupakan antara tonggak utama Datuk Ong Kim Swee dalam skuad emas negara yang meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Palembang.