Projektor kompak pada saban tahun sudah menjadi salah satu gajet yang sedia menerima pelbagai penambah baikan dalam memberikan keseronokan menikmati media hiburan dan kandungan visual dengan skrin yang lebih luas berbanding sekadar di telefon pintar sahaja.

Aurzen, sebuah syarikat inovasi global dalam bidang hiburan ultra-mudah alih, telah mengumumkan pelancaran rasmi dan ketersediaan segera projektor Aurzen ZIP di Malaysia.

Peranti yang diiktiraf ini merupakan penerima anugerah CES Innovation Award di CES 2025. Projektor Aurzen ZIP ini dijangka akan mengubah cara rakyat Malaysia menikmati media semasa bergerak, dengan menawarkan pengalaman skrin besar yang muat disimpan di dalam poket.

Apa yang menarik tentang Aurzen ZIP Tri-Fold?

Mudah Dibawa ke Mana Sahaja & Kompak, Projektor Aurzen ZIP Tri-Fold Berharga RM1,899 Kini Di Malaysia

Aurzen ZIP adalah projektor DLP (Digital Light Processing) tri-lipat yang pertama seumpamanya di dunia.

Projektor ini menampilkan reka bentuk berbentuk Z yang inovatif, membolehkan ia dilipat sehingga menjadi saiz dompet.

Kejuruteraan unik ini menjadikannya lebih kecil daripada telefon pintar biasa, namun ia berkemampuan untuk memancarkan imej berkualiti pawagam sehingga 100 inci saiznya.

Mudah Dibawa ke Mana Sahaja & Kompak, Projektor Aurzen ZIP Tri-Fold Berharga RM1,899 Kini Di Malaysia
Rupa yang menarik dan bersaiz kompak

Apa yang menarik tentang projektor ini sudah tentulah berkenaan saiznya yang sangat kompak iaitu memiliki dimensi yang amat kompak, berukuran 84 x 78 x 26 mm, dan berat hanya 280 gram.

Selain itu, ciri lipatan projektor ini bukan sahaja membolehkannya menjadi kecil, malah ia turut berfungsi sebagai kaki penyokong (stand) terbina dalam.

Mudah Dibawa ke Mana Sahaja & Kompak, Projektor Aurzen ZIP Tri-Fold Berharga RM1,899 Kini Di Malaysia
Boleh dilaras mengikut kehendak anda

Ini membolehkan pengguna melaras sudut unjuran dengan serta-merta mengikut keperluan mereka tanpa perlu menggunakan alatan pihak ketiga.

Kecik-kecik cili padi, ini frasa yang sesuai untuk digunakan untuk kemampuan Aurzen ZIP ini yang mana dilengkapi dengan ciri autofokus sifar sela masa (zero-lag autofocus).

Fungsi ini membolehkan projektor mudah alih tersebut melaraskan fokus dan pembetulan keystone secara automatik sebanyak 30 kali sesaat.

Hal ini bertujuan untuk memastikan imej dan kandungan yang dipancarkan sentiasa jelas dan tajam.

Setakat mahu memancarkan kandungan secara langsung dari satu peranti ke skrin yang lain atau bahasa mudahnya ‘mirroring’ boleh dibuat segera menerusi  Airlink.

Ciri ini membolehkan pengguna berkongsi kandungan dengan lancar daripada pelbagai peranti termasuk sistem operasi iOS, Android, macOS, dan Windows.

Yang paling utama, fungsi ini membolehkan pengguna membuat perkongsian kandungan tanpa memerlukan sambungan rangkaian Wi-Fi tempatan.

Mudah Dibawa ke Mana Sahaja & Kompak, Projektor Aurzen ZIP Tri-Fold Berharga RM1,899 Kini Di Malaysia

Bercakap tentang ketahanan bateri pula, anda tidak perlu risau kerana telah dibina dengan kapasiti 5,000mAh yang menyediakan masa main balik (playback) sehingga 1.5 jam.

Untuk pengisian semula kuasa yang pantas, ia menyokong ciri pengecasan pantas (fast charging) 24W PD (Power Delivery) melalui sambungan USB-C.

Aurzen, telah melancarkan Projektor ZIP di Malaysia pada harga RM1,899, yang akan mula tersedia pada 5 Disember 2025, melalui pengedar sah dan kedai dalam talian rasmi di Shopee dan Lazada (diedarkan oleh MBase Marketing, CenturyX Malaysia).