Malaysia kini dalam suasana bersedih. Banyak negeri yang terlibat dengan banjir. Harta benda musnah. Rumah ada yang hanyut. Ada juga yang kehilangan ahli keluarga.
Tapi disebalik musibah, masih ramai yang melihat segala yang terjadi dari sudut positif.
Kami ingin kongsikan nukilan Muhammad Rusydi untuk tatapan anda hari ini. Semoga ia memberi sedikit keceriaan untuk anda.
———————————————————————
Rumah kami terkepung dengan air banjir.
Menyesal pula balik bercuti di kampung hujung minggu. Sekarang, dah tak boleh keluar dari sini. Nasib baiklah rumah ni di kawasan tinggi sikit. Tapi, kawasan yang lain yang tenggelam. Jalan utama dah tutup.
Jawabnya, berkampung dalam rumah sehinggalah air banjir surut. Adik-beradik lain ada di rumah sama. Balik sebab nak kemas-kemas bilik masing-masing. Takut barang-barang kesayangan dibawa air.
Yang peliknya, abah nampak happy. Aku pun pelik. Adik-beradik lain pun pelik. Dahlah streamyx pun dah terputus, tiang dah tumbang. Internet fon bukan main siput lagi. Bosan kot duk rumah ni. Nak-nak, seminggu nak hidup dalam banjir. Nak tengok tv, tak ada cerita best. Nak layan movie di laptop, bosan ulang tayang benda sama. Nak turun dari rumah main air banjir, nanti demam pula tak pasal-pasal. Last-last, duduk sajalah dalam bilik. Tidur.
Lepas Isyak, abah panggil semua anak-anaknya berkumpul. Abah suruh : “Semua ambil Al-Quran, tunggu di ruang tamu.”
Aku pun dengan malas ambil Al-Quran dan tunggu. Adik-beradik lain pun nampak malas juga. Maklumlah sibuk dengan henpon masing-masing. Dah besar-besar belaka dah pun. Semua umur 22 ke atas. Memang dah season berpasangan belaka. Dah beberapa orang yang kahwin.
“Semua dah ada ya. Baiklah, abah nak tanya, berapa umur abah sekarang?”
Angah menjawab : “67 tahun. Kenapa abah?”
Abah senyum. “Rasulullah s.a.w. umur 63 tahun wafat. Bermakna abah sekarang dah guna umur subsidi 4 tahun.”
Along pula mencelah. “Kita nak baca Ya Sin ke malam ni? Siapa yang meninggal?”
Abah menggelengkan kepala. “Malam ni, abah nak setiap seorang baca Al-Quran depan abah. Biar abah dengar dan check, betul atau tidak bacaan kamu.”
Kami semua tersentak seketika. Angah bersuara, “Tapi, kami dah dewasa. Dah umur 20, 30 tahun dah. Dah boleh baca sendiri, abah.”
Abah senyum. “Bila kali terakhir kamu baca Al-Quran depan abah?”
Semua terdiam. Abah menyambung kata, “Seingat abah, kali terakhir setiap dari kamu baca depan abah, masa akhir sekolah rendah. Kemudian, khatam. Lepas tu, setiap dari kamu sibuk dengan study, kejar cita-cita masing, hinggalah dapat kerja dan berkeluarga. Jarang ada di rumah lagi.”
Along mencelah pula, “Maksud abah? Kami tak faham.”
Abah senyum manis. “Adakah abah hanya layak periksa bacaan anak-anak masa kamu semua masih kecil saja? Tak kan?”
“Akhir-akhir ini, abah banyak berfikir. Kerja mengajar Al-Quran pada anak-anak sepatutnya kerja abah seumur hidup. Supaya setiap hari, abah dapat pastikan anak-anak baca Al-Quran. Hidup dengan Al-Quran. Tapi, abah perhati, misalnya bila kamu balik kolej, tak ada pun anak-anak abah nak datang dekat abah, baca Al-Quran seperti kamu kecil-kecil dulu. Balik kampung, tak pernah abah dengar antara kamu baca Al-Quran walaupun berseorangan. Semuanya asyik dengan hal masing-masing.
Abah rasa abah gagal sebagai seorang abah. Abah dah tua begini. Baru abah sedar kesilapan abah. Abah dah tengok anak-anak abah berjaya di dunia. Belajar bagus, kerja pun alhamdulillah. Tapi, dari sudut akhirat, abah rasa dukacita. Abah tak menyediakan anak-anak abah dengan jiwa Al-Quran. Andai baca pun jarang, bagaimana nak beramal dengan isi dalam Al-Quran itu? Jauh sekali.”
Kami semua terdiam lama. Sebak. Terasa ke lubuk kalbu. Akui memang Al-Quran dipinggirkan dalam kehidupan sehari-hari selama ini.
“Abah dah tua, abah harap abah belum terlambat untuk mengajar Al-Quran pada kamu semua balik. Harap sangat.”
Along ke depan abah. Dengan linangan air mata. Angah pun sama turut menangis. Aku pun dah menitis air mata sama.
“Along nak baca dulu, abah. Bagi along baca dulu. Abah periksa bacaan along dulu.”
Abah senyum, namun aku nampak air matanya jatuh saat mendengar anaknya seorang demi seorang membaca Al-Quran di hadapannya. Seolah-olah berkata dalam hatinya, Abah takkan putus asa. Selagi ada masa tersisa.”
Credit : Muhammad Rusydi
———————————————————————
Kami pasti ada yang sebak selepas selesai membaca ini, sebab kami juga rasai yang sama.
Like page The Vocket di Facebook