Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini melangkah ke hadapan dalam pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang merokok dengan melancarkan fungsi baharu, MyLapor, yang diintegrasikan secara langsung ke dalam aplikasi MySejahtera.
Ciri baharu ini membolehkan orang ramai menyalurkan aduan berhubung sebarang pelanggaran atau kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) secara pantas dan mesra pengguna.
Langkah ini diambil bagi menyokong aspirasi negara menuju ke arah Malaysia Bebas Asap Rokok serta mewujudkan persekitaran awam yang lebih sihat dan selamat untuk semua.
Menurut pihak KKM, pelaksaan inovasi ini memperkasakan peranan masyarakat sebagai rakan pembantu penguatkuasaan.
“Setiap aduan yang disalurkan oleh orang awam adalah satu tindakan yang sangat bermakna. Kerana hero bukan sekadar melihat, hero memilih untuk bertindak. Kempen ini berteraskan prinsip ‘Lihat. Klik. Lapor’ bagi memudahkan orang ramai menjadi mata dan telinga KKM,” kata jurucakap kementerian tersebut.
Bagi masyarakat yang ingin membuat laporan, terdapat enam langkah mudah yang perlu diikuti menerusi aplikasi MySejahtera:
1. Buka Aplikasi MySejahtera & Klik Ikon MyLapor: Kemas kini aplikasi MySejahtera anda dan tekan pada ikon ‘MyLapor’ di halaman utama.
2. Klik ‘Laporkan di sini’: Pilih butang navigasi aduan untuk memulakan proses laporan.
3. Pilih Jenis Pelanggaran: Pilih kategori kesalahan yang dilihat, seperti individu merokok di premis makanan/kawasan larangan atau kanak-kanak/remaja merokok.
4. Muat Naik Gambar Bukti: Lampirkan gambar sebagai bukti untuk menyokong aduan yang dibuat.
5. Masukkan Lokasi Kejadian: Nyatakan nama tempat atau lokasi tepat di mana kesalahan tersebut berlaku.
6. Semak & Hantar: Semak semula butiran maklumat laporan dan tekan butang ‘Hantar’.
Orang ramai digalakkan untuk mengemaskini aplikasi MySejahtera masing-masing ke versi terkini bagi menikmati kemudahan ciri MyLapor ini dan bersama-sama membendung isu merokok di kawasan larangan demi kesejahteraan bersama.