Pada awal minggu ini dilaporkan industri pelancongan di Langkawi merosot sebanyak 39 peratus ketika cuti panjang Hari Malaysia baru-baru ini.

Bagaimanapun pihak berkuasa industri pelancongan di Langkawi menafikan laporan tersebut.

Baca Juga:

Memetik The Vibes, Persatuan Perniagaan Langkawi menyatakan hotel-hotel mencatat kadar penginapan yang rancak manakala operasi feri melaporkan perjalanan hampir penuh sepanjang cuti baru-baru ini.

Menurut Timbalan presiden, Datuk Issac Alexander berkata laporan itu tidak disahkan dengan pihak yang sewajarnya termasuklah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

“Sejak kita beralih ke fasa endemik, pelancongan masih berada pada tahap pemulihan. Sekarang, kita sudah mula mendapat momentum,” katanya.

Jualan di Langkawi rancak

Beliau menyifatkan laporan itu sebagai tidak adil, malah hampir menyerupai kandungan palsu, sedangkan pemain industri di situ melaporkan jualan yang rancak.

Alexander turut menegaskan media sepatutnya berhenti membandingkan Langkawi dengan Hatyai kerana kedua-duanya merupakan produk pelancongan yang berbeza sama sekali.

Langkawi ialah destinasi berorientasikan keluarga manakala Hat Yai di selatan Thailand lebih sesuai untuk mereka yang inginkan suasana kehidupan malam.

“Bandingkan kami dengan Phuket atau mungkin Bali, tetapi walau begitu, asas populasi kami tetap berbeza dengan destinasi seperti itu. Kami relatif kecil, namun ruang untuk berkembang amat besar,” katanya.

Pengerusi Malaysian Association of Hotels (MAH) cawangan Kedah dan Perlis, Eugene Alan Dass, berkata angka kadar penginapan awal yang dilaporkan adalah mengelirukan.

“Statistik menunjukkan kadar penginapan serendah 50 peratus, namun ia hanya merangkumi sebilangan kecil hotel yang mengambil bahagian di kawasan Kuah dan tepi pantai. Kajian itu juga dijalankan sebelum Hari Malaysia,” jelas laporan tersebut.

Pengamal pelancongan, Eric R. Sinnaya, pula berkata pulau peranginan itu tidak seharusnya terlalu obses dengan angka, sebaliknya memberi penekanan kepada kualiti pelancong yang datang.

“Kita tidak mahu jumlah pelancong berlebihan sehingga mencetuskan masalah pencemaran. Apa yang kita perlukan ialah angka yang seimbang — cukup untuk semua pemain industri pelancongan memperoleh pendapatan yang wajar.

“Kita juga mahu pelancong yang sanggup berbelanja atau melabur demi ketenangan yang ditawarkan Langkawi,” katanya.

Angka rasmi akan dikeluarkan

Dalam pada itu, LADA memberitahu pihak New Straits Times bahawa ketibaan pelancong melalui feri dan penerbangan berada pada tahap yang menggalakkan, dengan angka rasmi terkini akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Seorang jurucakap berkata bahawa sehingga Ogos 2025, Langkawi merekodkan 2,018,153 ketibaan pelancong berbanding 1,964,814 dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 2.64 peratus.

Bagi tempoh 1 hingga 16 September, ketibaan melalui Terminal Feri Kuah meningkat 22.43 peratus, manakala Pelabuhan Langkawi mencatat lonjakan 27.86 peratus. Ketibaan penerbangan domestik pula naik 10 peratus, manakala penerbangan antarabangsa melonjak 23 peratus.

Jurucakap itu menambah bahawa pihak agensi akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi menjelaskan prestasi sebenar pelancongan di pulau berkenaan.