Ketua jurulatih skuad Malaysia B-23, Nafuzi Zain tidak menolak hakikat Indonesia merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 yang bakal berlangsung Julai nanti.

Di sebalik status tuan rumah itu, Nafuzi tetap percaya anak buahnya mampu untuk memberikan saingan hebat kepada skuad kendalian Gerald Vanenburg tersebut.

Baca Juga:

Selepas bertemu Filipina dan Brunei, Malaysia akan berhadapan dengan Indonesia pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang dijadualkan berlangsung 21 Julai nanti.

Pertembungan yang dinanti-nantikan itu akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno dan walaupun Malaysia tidak pernah tewas dalam dua pertemuan terakhir menentang Indonesia dalam kejohanan B-23, Nafuzi sedar bahawa tugas untuk mengekalkan rekod tersebut adalah satu cabaran besar dalam edisi kali ini.

“Kelebihan dalam kejohanan ini sudah tentu memihak kepada tuan rumah, terutamanya dengan sokongan padu daripada penyokong mereka di Stadium Gelora Bung Karno,” kata ketua jurulatih Harimau Muda berusia 46 tahun itu menurut sumber AFF.

“Bagi saya, Indonesia adalah pasukan pilihan untuk memenangi Piala ASEAN B-23 2025 kerana mereka beraksi di laman sendiri. Namun begitu, kami sudah bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran sepanjang kejohanan.

Nafuzi
Kredit Foto: Malaysia NT

Sasaran Nafuzi Zain Dalam Piala ASEAN B-23 2025

“Sasaran utama kami adalah untuk layak ke perlawanan akhir, tetapi secara peribadi saya lebih suka mengambil pendekatan satu perlawanan pada satu masa. Daripada situ, matlamat awal kami adalah mara ke separuh akhir, dan seterusnya ke final.”

“Kami belum berpeluang untuk mengumpulkan atau menjalani kem latihan pusat bersama skuad kebangsaan B-23 sejak saya mengambil alih pasukan ini, jadi ini merupakan kali pertama kami berkumpul dan mengenali pemain dengan lebih dekat,” katanya.

“Namun, dari segi peribadi, saya sudah meneliti keupayaan pemain melalui pemantauan, termasuk hadir ke beberapa perlawanan dalam Liga Super, Piala MFL dan Piala Presiden sepanjang musim lalu.

“Dalam skuad kali ini, kami memiliki beberapa pemain dari Liga Super  seperti Haqimi Azim dari Kuala Lumpur City, Ubaidullah Shamsul dari Terengganu dan Alif Izwan dari Selangor.

“Walaupun selebihnya bermain dalam liga divisyen kedua seperti Piala MFL dan Piala Presiden, kami tidak meletakkan beban sepenuhnya kepada pemain-pemain Liga Super.”

“Sebaliknya, pendekatan kami adalah untuk bermain secara berpasukan,” tambah Nafuzi lagi.