2.2K Kehidupan
April 26, 2024 - 9:53 AM

Polis mengesahkan menerima laporan mengenai insiden kekecohan yang berlaku semasa upacara pengebumian Pegawai Pemerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli di Masjid Jamek Sungai Nibong di sini, pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.45 malam selepas pemandu kereta berusia 46 tahun terlanggar sebuah motosikal berhampiran dengan masjid berkenaan.

Menurutnya, kenderaan terbabit kemudian dikerumuni orang ramai dan pemandu kereta tertekan hon akibat berasa panik dengan keadaan itu.

“Berikutan itu berlaku kekecohan dan kenderaan pengadu mengalami sedikit kerosakan.

“Bagaimanapun kekecohan itu berjaya dileraikan oleh pasukan polis dan anggota TLDM yang berada di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Terdahulu, tular di media sosial dua video insiden kekecohan yang berlaku semasa berlangsung istiadat kawalan jenazah Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli di Masjid Jamek Sungai Nibong.
Video berdurasi 11 dan lapan saat itu memaparkan kekecohan yang berlaku termasuk kerosakan pada cermin di bahagian pemandu yang pecah disebabkan insiden berkenaan.
Mengulas lanjut, Razlam berkata, pemandu kereta terbabit mengakui tidak mengetahui tentang upacara tersebut serta secara tidak sengaja tertekan hon kereta.
ehubungan itu, Razlam memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengugat ketenteraman awam serta menjejaskan siasatan polis.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
Sumber