Polis mengesahkan menerima laporan mengenai insiden kekecohan yang berlaku semasa upacara pengebumian Pegawai Pemerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli di Masjid Jamek Sungai Nibong di sini, pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.45 malam selepas pemandu kereta berusia 46 tahun terlanggar sebuah motosikal berhampiran dengan masjid berkenaan.
Menurutnya, kenderaan terbabit kemudian dikerumuni orang ramai dan pemandu kereta tertekan hon akibat berasa panik dengan keadaan itu.
“Berikutan itu berlaku kekecohan dan kenderaan pengadu mengalami sedikit kerosakan.
“Bagaimanapun kekecohan itu berjaya dileraikan oleh pasukan polis dan anggota TLDM yang berada di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Khamis.