Seorang pemandu lori tangki didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang ibu dan anak, Jumaat lalu.
Dipetik daripada sumber Buletin TV3, Nor Azlan Mahayudin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.
Tertuduh didakwa memandu lori tangki secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12.
Kejadian berlaku di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, kira-kira jam 4 petang pada 14 Ogos lalu.
Pihak polis masih dalam proses siasatan mengenal pasti mangsa yang terbabit dalam nahas membabitkan sebuah lori tanker dengan sebuah kereta Perodua Bezza di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang petang tadi.
Hasil siasatan awal di lokasi mendapati sebuah lori tanker bermuatan… pic.twitter.com/yAwb8SqMV7
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) August 14, 2026
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Sharifudin.
Dalam kejadian pada 14 Ogos lalu, Nur Fatima Syuhada dan anaknya maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa 32,000 liter bahan api.