Tragedi pelanggaran kereta api antara KA Argo Bromo dan KRL Commuter Line yang sedang berhenti di Stesen Bekasi Timur baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan kesan duka yang mendalam, malah turut mencetuskan perdebatan berhubung isu keselamatan penumpang.

Insiden tragis yang menyaksikan kesemua mangsa nahas berada di dalam gerabak wanita itu telah mendorong Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (PPPA) Indonesia, Arifah Fauzi, untuk menyuarakan pandangannya.

Namun, hasrat awal beliau yang mahu melindungi keselamatan penumpang wanita telah mengundang polemik.

Terdahulu, sewaktu menziarahi mangsa di RSUD Kota Bekasi, Arifah mengusulkan agar kedudukan gerabak khas wanita dikaji semula dengan memindahkannya dari bahagian hujung (depan atau belakang) ke bahagian tengah rangkaian kereta api.

“Jadi yang lelaki di hujung. Yang depan belakang itu lelaki, jadi yang perempuan di tengah,” ujar beliau pada ketika itu, memandangkan bahagian hujung kereta api berisiko lebih tinggi untuk menerima impak sekiranya berlaku pelanggaran.

@aiyo.news

Perbaiki sistem ❌ Ganti korban ✅ Cadangan menteri Indonesia pindahkan gerabak wanita ke tengah tren KRL cetus perdebatan. Ada yang persoal keadilan untuk penumpang lelaki. #aiyonews

♬ original sound – Aiyo News – Aiyo News

Beliau sebelum itu turut mendapatkan penjelasan daripada pihak PT Kereta Api Indonesia, yang menyatakan kedudukan asal gerabak wanita di hujung adalah bagi mengelakkan kesesakan atau rebutan penumpang.

Menyedari kenyataan tersebut telah mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak pada saat negara sedang bersedih, Arifah dengan rendah hati tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Indonesia menerusi satu rakaman video di media sosial rasmi kementeriannya.

Dengan nada yang penuh empati, beliau terlebih dahulu merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan mendoakan kesejahteraan para mangsa serta keluarga yang terkesan.

“Terkait kenyataan saya pascainsiden kemalangan kereta api di Bekasi Timur, saya menyedari bahawa kenyataan tersebut kurang tepat.

“Untuk itu, saya memohon maaf sebesar-besarnya kepada seluruh masyarakat, khususnya kepada para mangsa dan keluarga mangsa yang merasa tersakiti atau tidak selesa atas kenyataan tersebut,” kata Arifah dengan penuh kekesalan.

Beliau turut menegaskan pendiriannya bahawa tiada kompromi dalam soal nyawa, tidak kira apa jua jantinanya. Beliau mengklarifikasi bahawa cadangan tersebut sama sekali bukan bertujuan untuk mengenepikan keselamatan kaum lelaki.

“Tidak ada maksud dari saya untuk mengabaikan keselamatan penumpang lainnya,” tegas beliau, sambil menggarisbawahi bahawa keselamatan seluruh masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, adalah keutamaan mutlak dalam apa jua polisi awam.

Kini, beliau mengajak semua pihak agar kembali menumpukan perhatian kepada perkara yang paling kritikal, iaitu kebajikan dan rawatan mangsa.

“Saya memahami bahawa dalam situasi duka seperti ini yang menjadi fokus utama adalah keselamatan, pengendalian mangsa, serta empati kepada seluruh keluarga yang terkesan,” luah beliau dengan nada prihatin.

Sebagai langkah proaktif dari sudut kemanusiaan, Kementerian PPPA hadir untuk memastikan hak mangsa, terutamanya kanak-kanak yang mungkin kehilangan tempat bergantung akibat tragedi ini, tidak terabai.

“Kementerian PPPA berkomitmen memberikan pendampingan psikologis, perlindungan, serta sokongan yang diperlukan, khususnya bagi anak-anak dan keluarga mangsa yang mengalami trauma akibat peristiwa ini,” janji beliau.

Di akhir kenyataannya, beliau mengajak semua pihak untuk berganding bahu memusatkan perhatian terhadap penambahbaikan sistem keselamatan pengangkutan awam secara menyeluruh, agar tragedi menyayat hati seperti ini tidak lagi berulang di masa hadapan.