Laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), hari ini mendapati bas dipandu dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan menjadi punca nahas yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, pada 9 Jun lalu.
Memetik Berita Harian, hasil analisis kinematik mendapati bas berkenaan dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian. Sementara had laju ditetapkan iaitu 60km/j.
Baca Juga:
- Insiden UPSI: Pemandu Dakwa Brek Bermasalah, PUSPAKOM Dapati Bas Tiada Isu Mekanikal

- Netizen Doakan Cikgu Kembali Sihat Selepas PTPTN Umum Hutang Pelajar UPSI Maut Dilupuskan

- Nahas UPSI: Pemandu Bas Mengaku Tidak Bersalah Memandu Secara Berbahaya

Oleh kerana memandu melebihi had laju telah menyebabkan insiden itu berlaku.
“Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bas dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan berkenaan.
“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin sehingga menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.
“Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
“Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai.
“Penilaian terperinci masih dijalankan dan akan dilaporkan dalam Laporan Akhir,” kata laporan itu.
Pada masa sama laporan itu turut kongsikan beberapa faktor lain yang menyumbang kemalangan tersebut. Antaranya adalah kelemahan sistemik merentas aspek reka bentuk jalan, spesifikasi kenderaan, pematuhan industri dan keberkesanan pengawasan.
Sehubungan itu laporan itu mendapati kemalangan itu bukan sahaja berpunca daripada kegagalan teknikal atau kesilapan pemanduan, tetapi turut didorong oleh kelemahan dalam struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta kelemahan pelaksanaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan.