Trailer dokumentari Netflix, Dirty Money Season 2 yang disiarkan baru-baru ini pasti akan mengejutkan sesiapa sahaja yang menontonnya.
Bukan kerana seni wayangnya tetapi kerana ia turut menampilkan bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib serta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam video berdurasi 1 minit 47 saat yang dimuat naik Netflix di YouTube itu memaparkan tentang dakwaan salah laku rasuah yang dihadapi mereka berdua sebelum ini.
Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. Manakala isterinya pula didakwa dengan pertuduhan berkaitan projek membekalkan tenaga solar kepada sekolah di Sarawak.
Menurut Netflix, siri penyiasatan ‘Dirty Money’ ini akan menjelaskan tentang skandal perbankan, skim hartanah, pembuangan sisa toksik plastik dan menceritakan bagaimana ketamakan korporat meletakkan orang awam dalam keadaan bahaya.
“Dirty Money akan membawakan pandangan yang lebih jelas megenai kisah di sebalik skandal, salah laku kewangan dan korupsi dalam dunia perniagaan.
“Dan musim ini akan menampilkan kes seperti empayar hartanah Jared Kushner, skandal perbankan Wells Fargo dan kes korupsi 1MDB,” jelas Netflix seperti dilaporkan The Star.
Selepas 12 jam dimuat naik ke YouTube, trailer tersebut sudah mendapat hampir 40,000 tontonan dan beberapa komen yang ditinggalkan oleh netizen juga mengatakan mereka menyedari kehadiran Najib Razak dalam siri tersebut.
Kepada anda yang teruja untuk melihat bagaimana skandal-skandal kewangan terbesar dunia ini dirungkai, Netflix mengumumkan musim kedua siri Dirty Money ini akan ditayangkan bermula 11 Mac nanti.
Netflix sebelum ini juga mengumumkan akan menghasilkan siri ‘live action’ anime popular One Piece. Klik pautan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Netflix Secara Rasmi Umum Hasilkan Siri ‘Live-Action’ One Piece