Goodyear Tire & Rubber Co telah mengumumkan penjualan jenama Dunlop kepada syarikat Jepun, Sumitomo Rubber Industries, dengan nilai tunai sebanyak USD 701 juta (RM3.15 bilion), lapor Reuters.
Penjualan ini melibatkan jenama Dunlop serta tanda dagangannya di rantau Eropah, Amerika Utara, dan Oceania.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada rancangan Goodyear untuk menyusun semula perniagaan mereka.
Menurut Goodyear, syarikat itu akan terus menjual tayar berjenama Dunlop untuk kenderaan penumpang di Eropah sehingga 31 Disember tahun ini dan akan membayar royalti kepada Sumitomo Rubber.
Selepas itu, Goodyear akan membekalkan tayar berjenama Dunlop tertentu kepada Sumitomo di Eropah untuk tempoh lima tahun akan datang.
Selain itu, Goodyear juga akan melesenkan semula tanda dagang Dunlop untuk tayar trak di Eropah secara jangka panjang dan akan membayar royalti kepada Sumitomo bagi setiap jualan.
Pada tahun 2023, Goodyear telah mengumumkan strategi untuk mengurangkan kos dan menstruktur semula portfolio perniagaan mereka, termasuk jenama Dunlop, unit tayar Off-the-Road, dan bahagian kimia.
Langkah ini bertujuan untuk menjana lebih daripada USD 2 bilion dalam hasil kasar.
Ini adalah sebahagian langkah penjimatan kos, tahun lalu Goodyear menjual perniagaan tayar Off-the-Road kepada Yokohama Rubber Co. dari Jepun dengan nilai USD 905 juta.
Langkah ini juga dilihat sebagai respons terhadap tekanan pasaran yang semakin mencabar, termasuk persaingan sengit daripada pengeluar tayar dari China yang menawarkan harga lebih rendah, serta pengawasan ketat oleh pihak berkuasa mengenai isu pencemaran.
Di Malaysia, jenama Dunlop mempunyai pengaruh besar, terutama dalam pasaran tayar kenderaan penumpang.
Penjualan jenama ini kepada Sumitomo Rubber mungkin memberi impak kepada strategi pemasaran Dunlop di rantau Asia Tenggara.
Pemilik kenderaan tempatan mungkin perlu menunggu untuk melihat bagaimana perubahan ini mempengaruhi harga dan ketersediaan tayar Dunlop di pasaran Malaysia.